Tiga beradik mendaki bukit demi PdPR - Utusan Malaysia

Tiga beradik mendaki bukit demi PdPR

ROSALIA Onlon (kiri) bersama suami, David Lamaris (dua kanan) menemani anak mereka Richie, Felisah dan Donna Fiona (kanan) mengikuti sesi PdPR di Kampung Kopozon Gana, Papar, Sabah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Mendaki bukit di kawasan ladang getah sejauh dua kilometer (km) untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak pernah mematahkan semangat tiga beradik di Kampung Kopozon Gana, Papar dekat sini  untuk belajar.

Donna Fiona David, 17, bersama Richie Declare,11, dan Falesiah Brisha, 7, tidak pernah mengeluh kepenatan kerana perlu mendaki bukit setiap minggu bagi mendapatkan capaian internet yang baik.

Pengorbanan ibu, mereka Rosalia Onlon mendaki bukit tiga kali seminggu membuatkan Donna nekad untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

Biarpun hampir berputus asa bagi mengikuti PdPR semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 namun, dia terus kuatkan semangat untuk belajar.

“Apabila memikirkan penat lelah ibu yang kadangkala terpaksa meninggalkan kerja di dapur demi menemani kami meredah ladang getah membuatkan saya kembali bersemangat untuk belajar.

“Kesian juga melihat ibu dan saya risau kalau tidak mendapat keputusan yang bagus akan menyebabkan dia kecewa.

“Namun, melihat kejayaan kakak saya, Debra yang memperoleh keputusan cemerlang 7A dalam SPM baru-baru ini, saya terfikir jika kakak boleh berjaya setelah mendaki bukit setiap hari, saya juga boleh mendapat keputusan yang cemerlang,” katanya ketika ditemui semalam.

Anak kelima daripada lapan beradik ini berkata, sebelum peperiksaan SPM kakaknya juga mendaki bukit setiap hari untuk memastikan dia tidak ketinggalan sesi PdPR dan ternyata pengorbanan itu membuahkan hasil.

Donna, yang kini menyertai Kadet Polis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) ST Mary ini berhasrat untuk memasuki Pusat Latihan Polis apabila tamat SPM kelak kerana dia memang minat menjadi anggota polis.

Ceritanya lagi, kadang-kadang mereka berada di pondok atas bukit itu dari pagi hingga ke petang apabila terlalu banyak kerja sekolah.

Sebelum ini, hanya ada satu peranti sahaja, jadi mereka tiga beradik terpaksa berkongsi dan menunggu giliran untuk menyiapkan kerja sekolah. Namun, apabila ayah mendapat telefon percuma menerusi Jaringan Prihatin, mereka kini boleh bergilir-gilir menggunakan dua telefon pintar untuk sesi PdPR.

Menurutnya, dia terpaksa membeli lebih buku rujukan kerana sukar untuk mendapatkan maklumat melalui Google.

Sementara itu, Falesiah Brisha, yang juga pelajar tahun satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gana berkata, hanya di kawasan pondok buatan bapanya, David Lamaris yang sudah tidak berbumbung itu sahaja capaian internet kuat.

DAVID bersama isterinya Rosalia menemani tiga anak mereka masuk ke ladang getah di Kampung Kopozon Gana, Papar, Sabah untuk mengikuti PdPR

Jadi, di situlah anak bongsu bersama kakak dan abangnya banyak menghabiskan masa untuk menyiapkan kerja sekolah.

Perjalanan mendaki bukit tidak juga jauh cuma semasa musim hujan mereka tidak dapat naik ke atas kerana laluan di bukit itu agak licin. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN