PETALING JAYA: Biarpun dianggap ‘senjata’ baharu Harimau Malaya, namun Dion Cools belum pasti diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jumaat ini.
Pemain kacukan Malaysia-Belgium itu yang baru tiba di Dubai semalam hanya mempunyai masa dua hari untuk menyesuaikan diri dengan rakan-rakan baharunya.
Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, beliau perlu melihat bagaimana pemain berusia 25 tahun itu berjaya membentuk keserasian dalam tempoh singkat sebelum diturunkan sama ada di posisi pertahanan tengah mahupun kanan.

“Kita harap dia boleh dapatkan persefahaman secepat mungkin termasuk dengan cara permainan Harimau Malaya dan cuaca berbeza. Apa yang penting barisan jurulatih sentiasa positif dengan kehadiran Cools dalam skuad kebangsaan kali ini.
“Saya tidak boleh beri peratusan (jaminan Cools akan diturunkan dalam kesebelasan utama) tapi kita akan pantu dalam satu atau dua hari sesi latihan. Kita tidak boleh bagi tekanan tinggi kepada dia kerana dia baru kali pertama sertai pasukan kebangsaan.
“Kami barisan jurulatih sudah pasti akan bagi tugasan atau kerja rumah untuk dia, termasuk menunjukkan video mengenai cara permainan pasukan dan pergerakan taktikal.
“Memang kalau tengok pengalaman dia bermain di Liga Belgium, Denmark dan Liga Juara-Juara seperti memberi kelebihan untuk dia disenaraikan dalam kesebelasan utama.
“Saya yakin pengalaman itu boleh membantu dia menghadapi perlawanan penting menentang UAE tapi kita juga tidak boleh membuat silap yang boleh mengundang keputusan negatif,” katanya dalam sidang akhbar secara maya hari ini.
Selepas UAE, Malaysia akan menentang Vietnam pada 12 Jun, diikuti Thailand 16 Jun.