PETALING JAYA: Menjadi harapan rakyat Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu hari ini akan merungkai dan menjadi titik penyelesaian dalam usaha menangani pandemik Covid-19, mengembalikan fungsi Parlimen, selain wujud elemen semak dan imbang dalam aspek sosial serta pentadbiran kerajaan.
Perbincangan melibatkan sembilan Raja-raja Melayu dengan dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah itu dijadualkan bermula pukul 2.30 petang di Istana Negara.
Ini kali kedua Raja-Raja Melayu mengadakan pertemuan khas selepas kali pertama pada 25 Oktober tahun lalu. Kali ini, isu-isu semasa kesihatan khususnya Covid-19, keselamatan, politik dan ekonomi akan menjadi tema perbincangan.
Rakyat juga berharap supaya pemulihan ekonomi disegerakan selain kehidupan mereka kembali normal apabila langkah-langkah sedang diambil ini berjaya mengurangkan jangkitan Covid-19 secara drastik.
Pada minggu lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap 18 pemimpin politik termasuk pemimpin kerajaan dan pembangkang yang dijalankan secara bersemuka atau melalui maya.
Pertemuan sembah maklum itu berlangsung sejak 9 Jun lalu hingga petang semalam.
Sementara itu, pakar perlembagaan, Dr. Shamrahayu A. Aziz bercakap kepada Utusan Malaysia berkata, beliau berharap Duli-Duli Tuanku dapat memberikan panduan dan pandangan dalam menangani isu-isu berkaitan semasa termasuk darurat, kesan kepada negara dan isu yang berkaitan dengan kepentingan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta kepentingan Parlimen secara umum.
“Perbincangan itu juga akan berkongsi pandangan Duli-Duli Tuanku bukan sahaja di peringkat Persekutuan, malah, juga di peringkat negeri disebabkan DUN tidak bersidang.
“Jadi, memang ada tugas yang perlu digalas dan diselesaikan walaupun tergendala. Perbincangan itu sudah pasti akan difikirkan baginda-baginda untuk dilaksanakan di peringkat Persekutuan,” katanya.
Seorang lagi pakar perlembagaan, Prof Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod turut menjelaskan bahawa isu menangani pandemik Covid-19 serta hal berkaitan ekonomi negara akan dibincangkan Raja-Raja Melayu.
“Dalam hal ini, semua maklumat yang dikumpul akan dibentangkan dan dibincangkan dalam perbincangan Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya.
Menurut beliau, langkah kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan Perdana Menteri semalam juga pastinya mempunyai kaitan bagi memberi mesej kepada masyarakat tentang strategi kerajaan dalam membantu rakyat.
Dalam pada itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Yang di-Pertuan Agong juga menerima perkenan menghadap beberapa pakar agensi kerajaan yang juga dijadualkan memberi sembah taklimat di hadapan Majlis Raja-Raja.
Menurut beliau, mereka juga akan memaklumkan hal-hal berkaitan isu kesihatan, keselamatan, politik dan ekonomi negara daripada pandangan masing-masing.
Menurut Ahmad Fadil, sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menerima menghadap 18 pemimpin politik, sama ada secara bersemuka atau melalui maya.
“Selain pemimpin politik Seri Paduka Baginda juga berkenan menerima menghadap Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 Ariffin Zakaria hari ini (semalam).
“Dalam sesi-sesi menghadap para pemimpin parti politik, Seri Paduka Baginda berkenan mendengar pandangan-pandangan mereka tentang pelbagai isu,” katanya.
Menurut Ahmad Fadil lagi, sesi menghadap itu dibuat atas inisiatif serta keprihatinan tinggi Al-Sultan Abdullah dan berkaitan dengan usaha memerangi penularan jangkitan wabak serta pelaksanaannya semasa darurat. – UTUSAN










