ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, beliau berada di Autocity Juru, Pulau Pinang kerana mahu singgah di sebuah kedai berhampiran sebuah pusat jualan kenderaan di situ, dan bukannya untuk memandu uji.
Menurutnya, beliau juga hanya melihat kenderaan yang berada di luar pusat jualan di situ kerana kebetulan melalui kawasan itu.
“Tak ada komen setakat ini, tunggulah hingga siasatan polis selesai. Saya pun tak tahu apa tujuan atau matlamat orang yang menularkan isu tersebut.
“Sambil nak ke kedai, tengok kereta di luar ruang pameran saja,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Kelmarin seorang pengguna Facebook memuat naik hantaran dan gambar dalam laman media sosial yang mendakwa Muhammad Sanusi bersama beberapa individu memandu uji sebuah kereta di pusat jualan kenderaan di Autocity Juru ketika Sekatan Pergerakan Penuh sedang berkuat kuasa.
Meskipun hantaran tersebut telah dipadam, namun tangkap layarnya menjadi tular hingga menjadi polemik dalam kalangan netizen.
Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Besar, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyifatkan perkara itu sebagai fitnah baharu terhadap Muhammad Sanusi.
Jelasnya, kejadian itu berlaku ketika Muhammad Sanusi menuju ke Kuala Lumpur atas urusan penting bersama pemandu dan seorang anggota polis pengiring.
“Dari Alor Setar, singgah di Juru sebab nak beli makanan sebelum masuk lebuh raya. Kawasan rehat dan rawat (R&R) tutup, sebab itu beli siap-siap untuk makan dalam perjalanan.
“Kebetulan tempat beli makanan itu berdekatan dengan pusat pameran kenderaan. Pusat pameran itu tutup namun ada seorang penjual kereta yang sedang menyusun kereta itu di luar pusat pameran,” katanya.
Tambahnya, Muhammad Sanusi kemudiannya ‘menjenguk’ kereta tersebut kerana minat dan bukan bertujuan untuk membeli.
“Lepas siapa beli makanan, Muhammad Sanusi sambung perjalanan ke Kuala Lumpur dan tiada sesi pandu uji berlaku,” katanya. -UTUSAN









