KUALA SELANGOR: Kerajaan mensasarkan 10 peratus rakyat Malaysia sudah lengkap menerima vaksin Covid-19 pada akhir Julai ini.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, sehingga semalam, seramai 7.8 juta rakyat Malaysia sudah menerima vaksin satu dan dua dos.
“Dari segi pecahan, 17 peratus rakyat sudah menerima dos pertama.
“Untuk Selangor, sebanyak 914,000 orang telah divaksin yang mana, 4.4 peratus daripada jumlah berkenaan sudah lengkap” kata beliau pada sidang akhbar selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Institut Pengurusan Perladangan (IPP) Tanjong Karang di sini, hari ini.
Isnin lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 (PICK), Khairy Jamaluddin meminta semua negeri meningkatkan kadar vaksinasi mulai bulan hadapan, iaitu penggunaan 90 peratus daripada jumlah dos vaksin yang diterima.
Menurut beliau, Malaysia dijangka menerima lebih banyak dos vaksin yang ditempah kerajaan sebelum ini.
Sementara itu, Noor Azmi berkata, kerajaan sedia membantu individu yang menghadapi kemurungan dan tekanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menurutnya, kerajaan bekerjasama dengan Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain bagi menangani masalah itu.
“Kita tidak nafikan ada peningkatan sebanyak dua peratus kes masalah tekanan dan kemurungan dari tahun 2019.
“Hampir 500,000 orang dewasa dan 400,000 kanak-kanak hadapi masalah tersebut pada waktu ini,” ujarnya. – UTUSAN