Pusat vaksinasi bergerak bantu pasangan OKU - Utusan Malaysia

Pusat vaksinasi bergerak bantu pasangan OKU

MAT Nawi Majid menerima suntikan vaksin dos pertama di Pusat Vaksin Bergerak di Pejabat ADUN Semerak, Pasir Puteh. - UTUSANTOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Pendaftaran vaksin melalui MySejahtera menggunakan telefon pintar merupakan kaedah yang sukar bagi pasangan suami isteri warga emas orang kurang upaya (OKU) di Kampung Telaga Papan, di sini.

Ini kerana pasangan itu, Mat Nawi Majid, 61, dan isterinya, Tuan Yam Long Ali, 59, bukan sahaja tidak mempunyai telefon pintar malah tiada anak yang boleh membantu dalam urusan pendaftaran.

Mat Nawi yang cacat fizikal bagaimanapun bersyukur apabila menerima suntikan vaksin dos pertama di pusat vaksinasi bergerak di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak di sini kelmarin.

Katanya, inisiatif Jabatan Kesihatan negeri itu memberi peluang kepada golongan tercicir sepertinya untuk menerima suntikan vaksin sama seperti orang lain.

“Penghulu Kampung Telaga Papan banyak membantu kami berdua untuk mendaftar sebagai penerima vaksin. Dia yang mengemas kini maklumat peribadi kami sebelum dapat menerima vaksin.

“Kami juga tidak mahu terdedah dengan jangkitan Covid-19 lebih-lebih lagi mengetahui bahaya wabak ini menerusi radio dan televisyen. Ini ikhtiar saya dan isteri untuk mengelak daripada jangkitan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Katanya, program suntikan vaksin bergerak itu perlu diteruskan agar semua lapisan masyarakat termasuk OKU dapat menerima suntikan vaksin Covid-19 dengan segera.

Sementara itu, ADUN Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, bagi memastikan tiada golongan tercicir, kesemua 18 penghulu dalam kawasan DUN Semerak diminta membantu warga emas dan OKU mendaftar sebagai penerima vaksin menerusi MySejahtera.

Katanya, setakat ini, seramai 700 individu berjaya didaftarkan dan seterusnya menerima suntikan vaksin doa pertama dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Kita menyasarkan seramai 3,000 penduduk di kawasan Semerak menerima suntikan vaksin menjelang Ogos. Hari ini (semalam), seramai 300 warga emas dan OKU selesai disuntik.

“Memandangkan kebanyakan mereka tidak mempunyai kenderaan, pihak St. John Ambulance Pasir Puteh telah membantu mengangkut warga emas dan OKU untuk mendapatkan suntikan di pusat vaksinasi bergerak,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya