Peniaga Telok Kemang terjejas, tidak lagi boleh bertahan - Utusan Malaysia

Peniaga Telok Kemang terjejas, tidak lagi boleh bertahan

PERALATAN gerai-gerai jualan di sekitar pantai Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan, yang tidak terurus dan terbiar ekoran penutupan operasi oleh peniaga kerana ketiadaan pelancong ke pantai tersebut. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Lengang dan sepi, pantai Telok Kemang yang biasanya hingar dengan kehadiran pengunjung untuk berkelah dan beriadah sekali lagi berdepan suasana tersebut selepas kali pertama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.

Gerai-gerai sekitar pantai tersebut yang kebiasaannya penuh dengan jualan cenderamata, pakaian renang, alatan permainan pantai dan makanan serta minuman kini tutup sepenuhnya.

Kerusi dan meja makan yang ditinggalkan juga sudah kelihatan berhabuk dan terbiar menandakan sudah lama ia tidak digunakan.

Bagi seorang peniaga cenderamata di Dataran Telok Kemang, Abdullah Sani Md. Said, 68, pelaksanaan PKP dan halangan rentas negeri dan daerah sangat memberi kesan kepada sektor pelancongan di pantai-pantai di daerah ini yang sangat bergantung kepada kehadiran pelancong dari luar.

Jelasnya, dia kini tidak mempunyai sebarang pendapatan dan mengakui tidak mampu untuk berhadapan dengan situasi sama jika keadaan yang berlaku ketika ini berterusan sehingga tempoh lima bulan lagi.

“Saya tidak ada pendapatan langsung dan hanya bergantung kepada wang simpanan. Jika tiada lagi pelancong yang datang ke Port Dickson sehingga hujung tahun ini saya tidak tahu apa yang terjadi.

“Kami juga tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak. Jadi saya harap ada pihak yang ambil perhatian kepada nasib kami para peniaga di Dataran Telok Kemang yang terjejas teruk ketika ini. Sekurang-kurangnya adalah bantuan bulanan bagi mengurangkan beban kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Tambahnya, ketika pelaksanaan PKP tahun lalu, dia mengalami kerugian yang amat teruk sehinggakan barangan kraftangan jualannya dimakan anai-anai disebabkan terlalu lama tidak beroperasi.

“Saya berniaga di bawah khemah di Dataran Telok Kemang dan ketika dimaklumkan PKP saya tidak sempat untuk ke khemah dan mengemas barangan kraftangan. Jadi, sewaktu saya datang kembali ke kedai dan saya dapati barangan kraf sudah dimakan anai-anai,” katanya.

Peniaga makanan, Mohd. Hairudin Shah, 30, berkata, hanya dia peniaga makanan yang menjalankan perniagaan di kawasan tersebut ketika ini.

“Hanya saya seorang yang tinggal di sini. Kebanyakan peniaga lain tidak berniaga kerana tiada pelancong yang datang.

“Saya terpaksa berniaga bagi menyara kehidupan kerana saya hanya ada kedai dan terpaksa memberi cuti kepada beberapa pekerja untuk menampung kos,” katanya.

Jelasnya, dia hanya bergantung kepada penghantaran makanan supaya perniagaannya dapat diteruskan.

“Saya harap sekurang-kurangnya rentas daerah dapat dibenarkan bagi membantu peniaga terutama di sektor pelancongan di Port Dickson,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya