IPOH: Masyarakat diminta tidak membuat spekulasi mengenai pelantikan mufti Perak yang baharu bagi menggantikan Allahyarham Tan Sri Harussani Zakaria.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, ini kerana pelantikan mufti adalah hak mutlak Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah seperti yang termaktub dalam Enekmen Pentadbiran Agama Islam Perak.
“Tak perlu spekulasi pelantikan mufti Perak yang baharu. Kita tunggu saja keputusan Tuanku. Memang ada orang yang tanya saya mengenai perkara itu, jawapan saya sama, itu kuasa penuh dan kebijaksanaan Tuanku.
“Sebab mufti yang akan membantu tuanku untuk urusan-urusan agama, sudah tentu baginda hendak mencari orang yang sangat layak dan sangat sesuai untuk membantu tuanku,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Zamri memberitahu, beliau telah menanggung kerja mufti sejak 23 Ogos 2020 yang lalu ketika Harussani mula tidak sihat dan diberi cuti.
Menurutnya, ketika menghadap Sultan Nazrin baru-baru ini, beliau telah dititahkan oleh Tuanku supaya terus menanggung kerja mufti sehingga satu waktu ditetapkan.
“Jadi saya sebagai yang diamanahkan oleh Tuanku, akan meneruskan tugas-tugas pentadbiran mufti dan mana-mana yang boleh saya bantu, itu (pelantikan mufti) adalah kuasa penuh tuanku, kita tunggu, nanti dapat calon yang layak,” katanya.
Ditanya kemungkinan beliau akan menggantikan Harussani, Zamri berkata, tidak semestinya timbalan mufti dilantik sebagai mufti seperti di Selangor yang mana bekas Timbalan Mufti Selangor,
Datuk Abdul Majid Omar, pernah berkhidmat di bawah dua orang mufti, kerana pelantikan itu adalah kuasa mutlak dan atas kebijaksanaan Sultan.
Katanya, sebagai penjawat awam seperti penjawat awam yang lain, beliau sedia menerima apa sahaja arahan selanjutnya sama ada kekal atau pertukaran dan sebagainya dan tetap berpegang pada prinsip walau di mana pun bekerja, pastikan berkhidmat untuk agama.
“Dari dulu lagi saya amalkan doa seperti ketika mahu ditemuduga untuk pekerjaan, saya berdoa “Ya Allah jika sekiranya aku layak, Engkau bantu aku menjalankan tanggungjawab ini, tapi kalau ada orang lebih layak, Engkau ambil lah dia, yang penting kedaulatan agama itu diteruskan oleh orang yang selayaknya,” katanya. – UTUSAN











