Pandu uji kereta: Tujuh termasuk Sanusi direkod keterangan  - Utusan Malaysia

Pandu uji kereta: Tujuh termasuk Sanusi direkod keterangan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Polis merekodkan keterangan tujuh individu termasuk Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor semalam berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) di Autocity Juru, Seberang Perai Tengah (SPT) Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah,  Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, individu yang diambil keterangan ialah dua pengadu termasuk seorang wanita yang merakam video di lokasi kejadian, dua staf syarikat jualan kereta, seorang pemandu serta pengiring kepada Sanusi.

Menurut beliau, empat individu tersebut hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Polis Daerah Seberang Perai Tengah (IPD SPT) manakala  Sanusi bersama dua pembantunya di Alor Setar, Kedah.

“Kes tersebut (langgar SOP)  masih dalam tindakan pihak polis untuk melengkapkan siasatan. Beri ruang kepada kami untuk menjalankan siasatan.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya kepada Utusan Malaysia  semalam.

Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia untuk menemubual pemilik akaun Facebook (FB) yang juga wanita yang merakam video Menteri Besar Kedah didakwa melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP), Nini Siron gagal apabila wanita tersebut enggan memberi komen.

Difahamkan, wanita berusia 38 tahun itu kini  berdepan tekanan akibat menerima kecaman warganet berikutan video dan gambar Sanusi bersama dua pembantunya menaiki kereta pacuan empat roda untuk dipandu uji  tular sejak Sabtu lalu.

Wanita itu menyaktifkan akaun Facebook miliknya termasuk memadamkan semua status, video dan gambar berkaitan  petang semalam.

Terdahulu, wanita tersebut memuat naik video dan gambar lelaki mirip Sanusi bersama tiga lelaki di laman sosialnya selepas terserempak dengan  individu berkenaan berhampiran kedai serbaneka di Autocity  Juru.

Rakaman video berkenaan telah memperlihatkan tindakan sekumpulan individu terbabit menaiki sebuah kereta pacuan empat roda berwarna biru  untuk dipandu uji ketika negara sedang melaksanakan PKP 3.0 penuh.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.