PETALING JAYA: Tidak dapat kawal emosi, konflik keluarga dan ibu bapa di bawah pengaruh dadah atau mabuk antara merekodkan peratusan tinggi punca berlaku jenayah dera kanak-kanak bagi tempoh lima tahun sejak tahun 2016 ini.
Faktor emosi, ia berlaku disebabkan beberapa punca seperti perubahan status sosial akibat kehilangan kerja selain ada juga membabitkan isu-isu ‘remeh’ malah ada atas alasan anak membuat bising sehingga menyebabkan ibu bapa atau penjaga gagal mengawal diri seterusnya memangsakan anak untuk melepaskan geram.
Turut menyumbang kepada berlakunya kes penderaan adalah konflik keluarga termasuk ada kalangan ibu atau bapa yang berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol ketika jenayah itu dilakukan.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 2,611 kes dera dilaporkan dalam tempoh itu dan lebih mengejutkan, bapa kandung adalah penyumbang tertinggi kejadian tersebut.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, daripada 2,700 suspek yang ditahan, sebanyak 1,755 melibatkan ahli keluarga sendiri seperti bapa kandung membabitkan 610 kes dan ibu kandung (578).
Menurut beliau, turut menyumbang kepada kes penderaan kanak-kanak adalah melibatkan pengasuh apabila sebanyak 810 pelaku ditahan dalam tempoh sama diikuti lain-lain individu (130 pelaku).
“Tidak semua kes yang dilaporkan dan disiasat sebagai penderaan kanak-kanak ini adalah tulen kerana berdasarkan punca kejadian, ia menunjukkan ada elemen kecuaian dan kemalangan.
“Bagaimanapun, tidak dinafikan, 65 peratus punca kes penderaan berlaku adalah disebabkan masalah pelaku itu seperti panas baran, hilang kawalan diri kerana mabuk atau dadah.
“Perkara ini sudah lama berlaku, setiap tahun ada sahaja kes direkodkan namun bertambah buruk ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana mangsa terkurung di dalam rumah dengan pelaku bagi tempoh lama sehingga mereka sukar mendapat bantuan,” kata beliau dalam temu bual melalui aplikasi Zoom baru-baru ini.
Siti Kamsiah berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 2,705 mangsa dera terdiri daripada 1,583 kanak-kanak lelaki diikuti perempuan (1,122 mangsa).
Dalam pada itu, jelas beliau, kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun adalah mangsa yang paling tinggi didera apabila sebanyak 1,222 orang direkodkan diikuti tujuh hingga 12 tahun (688 orang), bawah setahun (615 orang), 13 hingga 15 tahun (178 orang) dan 16 hingga 18 tahun (dua orang).
“Sebanyak 20 peratus daripada kes dera yang dilaporkan adalah berpunca daripada kemalangan atau kecuaian sehingga menyebabkan ada mangsa yang maut seperti akibat jatuh kolam, jatuh katil, tersedak susu, sawan dan berlakunya pendarahan dalam otak yang tidak diketahui puncanya.
“Ada juga kes penderaan kanak-kanak berlaku kerana pukul untuk mendidik namun peratusnya rendah apabila hanya 10 peratus direkodkan dan kategori ini selalunya ada unsur mangsa nakal atau sukar dikawal dan kecederaan tak serius,” jelasnya. – UTUSAN










