NeuXP platform perbankan digital bersepadu - Utusan Malaysia

NeuXP platform perbankan digital bersepadu

JEREMY Mah (depan, tengah) bersama pegawai dan kakitangan NeuXP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BICARA NIAGA

MUKADIMAH:

Kerap kita mendengar, individu mahupun perniagaan sering mengalami kesukaran ketika melakukan urusan atau transaksi dalam talian membabitkan pihak tertentu di luar negara.

Antaranya,  tempahan penerbangan, penginapan dan pembelian barangan.

Lantaran itu, kewujudan platform perbankan digital bersepadu, NeuXP, bakal membantu mengubah pengalaman pengguna dan perniagaan khususnya kalangan bukan tempatan. NeuXP, syarikat teknologi kewangan (fintech), menawarkan penyelesaian global dan memberikan pengguna akses dalam satu platform tunggal.

Ikuti temubual wartawan SHAFIQAH SHUKOR bersama Ketua Pegawai Operasi dan Pengasas NeuXP, JEREMY MAH baru-baru ini, yang berkongsi perkhidmatan ditawarkan syarikat berkenaan bagi membantu memudahkan urusan pengguna.

UTUSAN: Apakah Finnex Acquisition Corp. dan NeuXP?

JEREMY MAH: NeuXP adalah penaja bagi Syarikat Pemerolehan Tujuan Khas (SPAC), Finnex Acquisition  Corp. (Finnex), yang akan disenaraikan di Bursa Saham Milan, Itali.

NeuXP pula ialah platform perbankan digital bersepadu, bertujuan mengubah pengalaman pengguna dalam perbankan digital dan alat perniagaan terutamanya untuk bukan warganegara.

Perkhidmatannya akan dilancarkan di kawasan lain seperti Eropah, Asia Barat dan Amerika Syarikat pada masa akan datang.

Apakah kepentingan dan kelebihan penubuhan Finnex dalam mempercepatkan pelancaran platform digital di Eropah dan Asia?

Finnex adalah sebuah SPAC yang mempunyai objektif untuk memperoleh perniagaan dan entiti dalam industri perbankan dan teknologi kewangan (fintech) yang tidak tersenarai awam tetapi berpotensi tinggi kerana itu adalah dua sektor yang sangat menarik dengan peluang pertumbuhan yang besar apabila digabungkan dengan strategi moden dan mampan.

Melalui Finnex, penggabungan dan pemerolehan (M&A) bank tradisional dan fintech akan mempercepatkan pelancaran perkhidmatan yang lebih inovatif dan model perniagaan yang disruptif, sejajar dengan transformasi ekonomi digital global untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan memenuhi permintaan pengguna digital.

Dengan strategi pemerolehan ini, Finnex berpotensi untuk memperoleh kelebihan perbandingan dan keupayaan serta sumber yang lebih luas untuk entiti dan perniagaan yang diperoleh di ruang perbankan digital. Pendekatan M&A juga akan menjimatkan masa syarikat daripada perlu melalui proses panjang dalam pelesenan yang seterusnya akan memberikan alternatif untuk melancarkan pada kadar yang lebih cepat di Eropah dan Asia.  

Bagaimanakah proses membuka SPAC bermula di Eropah?

Proses membuka SPAC bagi Finnex di Eropah bermula dengan perbincangan bersama pakar-pakar SPAC di Itali sebelum membuat keputusan untuk mendapatkan persetujuan daripada bank pelaburan ke atas proses meraih pelaburan yang diingini. Beberapa langkah untuk membuka SPAC juga dilakukan dengan kerjasama rakan-rakan kongsi dan  pengarah-pengarah yang dilantik untuk bersama-sama meneraju Finnex di Itali.

Bagaimana syarikat pemula seperti NeuXP mendapat kepercayaan para pelabur untuk memulakan SPAC?

Melalui banyak sesi melontarkan idea dan aktiviti pengenalan jenama kami di peringkat antarabangsa, kami telah menjalin hubungan strategik dengan pakar-pakar di Itali yang amat berpengalaman dalam SPAC.

Pasukan kami, yang terdiri daripada pakar-pakar tersebut dan rakan kongsi kami di Itali, ditambah pula dengan pendekatan jangka panjang kami untuk melancarkan platform perbankan digital yang sangat bersepadu dan inovatif melalui strategi M&A, kami yakin mempunyai peluang baik untuk memperoleh kepercayaan pelabur di Eropah.

Apakah kelebihan yang ditawarkan oleh NeuXP?

NeuXP menawarkan platform perbankan digital yang bukan saja merangkumi perkhidmatan bank malahan gaya hidup seperti tempahan penginapan, tempahan penerbangan, penginapan atau membuat pembelian barangan dalam talian dan lain. Ia sekali gus memberi pengalaman omni-saluran yang memudahkan pengguna tanpa perlu keluar dari aplikasi NeuXP.

Mengapa NeuXP dikatakan sebagai platform yang lain daripada yang lain? Bagaimana platform ini dianggap  fleksibel, mudah diakses dan mudah difahami?

Platform ini fleksibel kerana ia platform perbankan berintegrasi tinggi yang memberikan pengalaman pengguna omni-channel.

Ia mudah diakses kerana pengendalian jarak jauh yang lancar membolehkan perkhidmatan berterusan dan tanpa batas untuk pengguna di seluruh dunia. Ia platform perbankan digital sepenuhnya yang mana cara pengendaliannya dipermudahkan untuk semua pengguna.

Bilakah jangkaan ia akan dilancarkan?

NeuXP dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun ini.

Bagaimana NeuXP  boleh disenaraikan sebagai syarikat pemula yang meyakinkan?

Selain memenangi anugerah dan diiktiraf sebagai antara syarikat permulaan yang menjanjikan, NeuXP juga adalah startup Fintech yang bergerak pantas dipelopori oleh kalangan profesional dan usahawan dengan pengalaman gabungan 50 tahun dalam industri perbankan, kewangan dan Fintech.

Bagaimana penggunaan bank digital dan e-dompet mempengaruhi (operasi) bank tradisional, akan mendorong pelancaran NeuXP?

Pelanggan bank mencari perkhidmatan perbankan yang mudah dan memberikan lebih nilai. Industri perbankan telah berubah kepada digital secara signifikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Turun-naik ekonomi, kemajuan teknologi, ketercapaian data dan peralihan generasi yang dinamik, telah menyebabkan tingkah laku pelanggan bank berubah.

Satu kajian mendapati, jumlah pengguna perbankan digital di seluruh dunia akan melebihi 3.6 bilion pada 2024, daripada lebih 2.4 bilion pada 2020; peningkatan sebanyak 54 peratus.

Perubahan dalam tingkah laku pelanggan bank, pertambahan pengguna yang mencari pilihan perbankan digital dan peningkatan kemampuan menyesuaikan diri dengan perbankan digital termasuk e-dompet memberi peluang kepada NeuXP untuk menjadi ‘Amazon’ perbankan dengan menyediakan platform digital yang unik dan berintegrasi tinggi.

Apakah perbezaan penyelesaian perbankan digital konvensional dan NeuXP?

NeuXP mengintegrasikan penyelesaian perbankan digital konvensional manakala, fintech  memberikan penawaran integrasi sepenuhnya kepada pengguna. Tujuannya adalah untuk menghubungkan penyelesaian ini secara global dan memberi pengguna akses global dalam satu platform tunggal.

Berbeza daripada penyelesaian perbankan digital konvensional, NeuXP lebih daripada sekadar aplikasi perbankan yang memberikan pengalaman saluran omni kepada pengguna di mana mereka tidak perlu keluar daripada aplikasi NeuXP untuk melanggan perkhidmatan gaya hidup lain seperti membuat tempahan penerbangan, penginapan atau pembelian barangan dalam talian dan banyak lagi.

Segala-galanya dapat dilakukan dalam satu aplikasi, mengubah pengalaman pengguna terutama bagi pengguna sasaran kami, bukan penduduk yang tinggal di Eropah, Asia dan di benua lain pada masa akan datang.

Bagaimanakah kewujudan SPAC akan membantu penduduk yang tidak menetap di Asia, Amerika Syarikat dan Eropah?

Finnex sebagai SPAC akan mempercepatkan pelancaran platform perbankan digital di Eropah di mana ia akan mengatasi masalah dilalui oleh mereka yang bukan pemastautin dari segi perbankan di luar negara.

Platform itu juga akan melengkapi keperluan mereka dengan pelbagai perkhidmatan gaya hidup seperti tempahan penginapan, tempahan penerbangan, penginapan atau membuat pembelian barangan dalam talian dan lain-lain.

Melalui NeuXP, mereka akan dengan mudah menjalani kehidupan di tempat asing sama seperti penduduk di situ, di mana semua hal perbankan dan perkhidmatan gaya hidup dapat dinikmati tanpa masalah di mana saja mereka berada.

Apakah rancangan masa depan NeuXP dari segi perkembangan dan rakan kongsi dengan syarikat atau badan kerajaan lain?

Walaupun kami telah berkolaborasi dengan pelbagai perkhidmatan gaya hidup dan penyedia teknologi di dalam dan luar negara, kami masih lagi berusaha untuk menjalin lebih banyak perkongsian dengan penyedia perkhidmatan atau teknologi, agensi penempatan, institusi pendidikan tinggi dan agensi kerajaan yang dapat melengkapi platform berintegrasi kami atau bantu kami menjangkau pengguna sasaran kami (bukan pemastautin di luar negara seperti profesional atau pelajar) 

Apakah yang memberi keyakinan kepada Finnex untuk membuat tawaran awal permulaan di Itali?

Kami yakin Finnex  melalui NeuXP sebagai penaja, mempunyai konsep dan visi yang kukuh untuk melancarkan perkhidmatan yang lebih inovatif.

Malah, NeuXP telah memenangi pelbagai anugerah dan pengiktirafan di luar negara.  Antaranya, pengiktirafan sebagai satu daripada lapan syarikat permulaan paling menjanjikan di dunia oleh World Business Angel Investment Forum (WBAF), di mana sebanyak 4,500 syarikat di seluruh dunia turut bertanding. NeuXP juga telah memenangi tempat kedua dalam China-ASEAN New Smart City Innovation & Entrepreneurship Ketiga di China. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×