PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan menganjurkan Seminar Pemindahan Teknologi MPOB (Webinar TOT 2021) secara dalam talian pada 1 Julai ini.
Menurut Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir, webinar TOT 2021 akan disempurnakan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.
Beliau berkata, penganjuran TOT 2021 akan memberi peluang perniagaan kepada usahawan industri kecil sederhana melalui pengkomersialan teknologi yang ditawarkan oleh MPOB.
“TOT 2021 turut menyedia jaringan hubungan antara MPOB dengan komuniti perniagaan, ahli agronomi, golongan profesional dalam bidang kejuruteraan, penyelidik, ahli teknologi makanan, ahli kimia, pengilang dan pengeluar serta pihak yang terlibat dengan industri sawit,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Parveez berkata, MPOB akan memperkenalkan empat teknologi baharu merangkumi inovasi perlindungan tanaman, penggunaan biojisim sawit dan kejenteraan ladang.
Katanya, teknologi-teknologi baharu yang diperkenalkan menggalakkan penggunaan inovasi dan teknik-teknik baharu yang mesra alam bagi peningkatan produktiviti tanaman sawit.
Tambah beliau, MPOB menawarkan teknologi dalam industri sawit yang mempunyai potensi dan nilai pengkomersialan untuk dimanfaatkan oleh penggiat industri dan usahawan tempatan.
“Teknologi-teknologi yang dibangunkan dapat meningkatkan produktiviti tenaga kerja di ladang sawit, menjimatkan kos dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.
“Teknologi hasil penyelidikan MPOB berjaya meningkatkan kecekapan industri sawit dan membuka peluang perniagaan kepada usahawan tempatan,” katanya.
Menurut MPOB, seminar TOT dianjurkan pada setiap tahun dan TOT 2021 diadakan secara dalam talian mengikut amalan norma baharu selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan Covid-19.
Webinar TOT 2021 bertujuan menghebahkan hasil penyelidikan MPOB dan pengkomersialan teknologi kepada para usahawan tempatan dan pihak yang berminat dalam meneroka peluang perniagaan berasaskan teknologi dalam industri sawit. – UTUSAN










