MASJID Lama Pengkalan Kakap, Merbok yang terletak berhampiran dengan kaki Gunung Jerai dan Lembah Bujang di Merbok, Sungai Petani, Kedah merupakan salah sebuah masjid tertua di negeri ini.
Masjid tersebut yang mewarisi seni bina rumah Melayu tradisional dibina sekitar tahun 1800 oleh seorang tukang bernama Tok Man dan di bawah senggaraan Penghulu Haji Md. Salleh.
Bahagian utama masjid itu berbentuk segi empat dengan ukuran panjang 15 meter dan lebar 12 meter serta mempunyai mempunyai enam tiang seri besar yang menyokong bumbungnya.
Selain itu, terdapat sebanyak 22 batang tiang lagi bentuk bulat di bahagian luar masjid tersebut.
Pada bahagian hadapan pula terdapat lengkungan dipercayai mihrab dan dilengkapkan dengan mimbar, selain mempunyai koridor di bahagian tepi.
Masjid itu mempunyai tiga pintu utama yang diperbuat daripada kayu memiliki dua daun, selain mempunyai enam buah tingkap yang dapat memberi pencahayaan yang sempurna dalam masjid tersebut.
Struktur pertukangan kayu itu merupakan seni bina hybrid yang sebenarnya terkenal dari Kedah hingga Pattani di Selatan Thailand.
Bumbung masjid lama itu mempunyai dua lapisan dengan bentuk bumbung perabung lima dan atap yang digunakan pula jenis singgora dari negara China.
Antara keunikan masjid ini adalah tidak menggunakan sebarang paku untuk menyambung atau melekapkan kayu antara satu sama lain, selain menggunakan campuran putih telur sebagai bahan pelekat.
Pedagang Islam
Seorang penduduk di Kampung Pengkalan Kakap, Ku Rahim Ku Razak berkata, dia difahamkan masjid tersebut dibina untuk kemudahan para pedagang Islam dari seluruh dunia singgah di Pengkalan Kakap di Sungai Merbok Kechil.
Menurutnya, kedudukan masjid itu pula terletak kira-kira 50 meter dari sungai tersebut yang menjadi laluan pedagang-pedagang pada masa itu.
Malah, katanya, pedagang dari China telah membawa atap genting untuk membantu menyiap masjid tersebut.
“Pada masa itu, pelabuhan di Pengkalan Kakap ini antara yang sibuk digunakan oleh pedagang dari China dan India untuk bertukar barang kerana kedudukannya tidak jauh dari muara sungai Merbok dan Gunung Jerai.
“Kebanyakan pedagang menjadikan Gunung Jerai sebagai petunjuk arah dan panduan untuk mengelakkan mereka sesat ketika berada di Lautan Hindi dan Selat Melaka kerana puncak gunung itu dapat dilihat dengan jelas dari lautan,” katanya.

Selain itu, Ku Rahim memberitahu, jemaah masjid tersebut mengambil wuduk di sungai tersebut sebelum menunaikan solat.
Malah, tambahnya, masjid ini juga sering mendapat kunjungan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah Sultan Kedah ke-25 dari tahun 1881-1943.
“Baginda kebiasaannya berehat di masjid itu apabila mengadakan lawatan di daerah Kuala Muda,” tambahnya.
Selain itu, menurutnya, di hadapan masjid tersebut juga terdapat Tanah Perkuburan Islam Masjid Pengkalan Kakap yang melibatkan kawasan seluas 0.4 hektar.
Seorang pesara kerajaan, Othman Hussin, 66, berkata, masjid tersebut yang diwartakan sebagai bangunan sejarah sebenarnya hampir dirobohkan selepas sebuah masjid baharu dibina bersebelahan dengan masjid lama itu pada sekitar tahun 60-an.
Bagaimanapun, katanya, beberapa penduduk termasuk keluarganya antara yang membantah masjid lama yang bersejarah itu dirobohkan.
“Alhamdulillah Masjid Lama Pengkalan Kakap dapat dipertahankan sehingga sekarang walaupun tidak digunakan lagi oleh penduduk.
“Saya percaya sekiranya tiada bantahan tersebut, masjid ini telah lenyap,” katanya yang kini tinggal di Taiping, Perak.
Diubah Suai
Beliau menambah, reka bentuk masjid tersebut juga hampir sama dengan Masjid Jamek Batu Uban, Gelugor, Pulau Pinang yang dibina pada tahun 1734. Bagaimanapun sebahagian besar masjid jamek itu telah diubah suai.
“Selain itu, saya difahamkan struktur sebuah masjid berusia lebih 1,100 tahun yang ditemui tertanam sedalam 140 sentimeter di Pengkalan Bujang, Merbok sebelum ini juga menyamai reka bentuk sebuah Masjid Lama Pangkalan Kakap ini.
“Penemuan struktur masjid itu menguatkan lagi dakwaan ahli sejarah bahawa Islam telah bertapak di Negeri Kedah lebih awal dari Melaka,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Farizan Mohd. Saad, 42, berkata, bangunan Masjid Lama Pengkalan Kakap ini telah dibaik pulih pada pertengahan 1994 oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti.
Jelasnya, masjid itu yang siap dibaik pulih dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datuk Sabaruddin Chik pada 29 Jun 1996.
“Kini masjid ini terletak di bawah seliaan Jabatan Warisan Negara sejak tahun 2005 hingga kini,” katanya.
Beliau yang juga seorang guru dan sedang menyambung belajar di peringkat Sarjana di Universiti Teknologi Mara (UTM) Skudai, Johor berkata, Jabatan Warisan Negara diharap dapat memastikan masjid tersebut sentiasa dalam keadaan terpelihara kerana mempunyai nilai sejarah yang cukup berharga.
Dalam masa sama, menurutnya, jabatan berkenaan perlu menambah promosi mengenai keunikan masjid tersebut untuk menarik lebih ramai pelancong ke kampung itu.
“Kawasan di sekitar Merbok ini mempunyai banyak tempat menarik bersejarah terutamanya berkaitan dengan perkembangan Islam di rantau ini,” katanya.











