KUALA TERENGGANU: Penggiat pelancongan di negeri ini disaran memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melipatgandakan aktiviti pemasaran digital bagi mempromosi produk dan destinasi tumpuan pengunjung.
Timbalan Pengerusi Persatuan Pelancongan Terengganu, Alex Lee Yun Ping berkata, langkah itu sebagai persediaan untuk menarik semula kemasukan pelancong sebaik sahaja aktiviti rentas negeri dibenarkan nanti.
“Tempoh PKP ini masa yang tepat untuk penggiat pelancongan yang terhimpit memikirkan idea lebih kreatif dan inovatif ke arah mempromosi produk dan destinasi secara dalam talian.
“Banyak negara di Eropah sudah membuka aktiviti pelancongan masing-masin. Jadi semua pihak termasuk pemain industri, pemilik produk, pemegang taruh, kerajaan negeri dan jabatan berkaitan perlu bekerjasama bagi memulihkan kembali industri,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan aktiviti pelancongan di pulau-pulau peranginan yang menjadi antara penyumbang utama kepada pendapatan negeri kini lumpuh akibat pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, Yun Ping optimis Terengganu bakal menerima limpahan pengunjung domestik, sebaik sahaja aktiviti itu dibenarkan beroperasi.
Sementara, itu katanya, pelaksanaan pelancongan virtual adalah antara alternatif yang boleh dipertimbang kerajaan negeri dalam mempromosikan keunikan produk seni dan warisan tempatan. – UTUSAN ONLINE