Lelaki berlumuran darah lari masuk balai polis  - Utusan Malaysia

Lelaki berlumuran darah lari masuk balai polis 

SEORANG lelaki lari menyelamatkan diri dalam keadaan berlumuran darah ke Balai Polis Butterworth, Pulau Pinang selepas dilibas dengan sebilah parang panjang oleh kenalannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang pemandu lori berlari ke balai polis dalam keadaan berlumuran darah selepas dilibas  parang oleh rakannya di Taman Cantik, di sini semalam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa berusia 31 tahun terpaksa menerima 37 jahitan di lengan kanan selepas dilibas parang sepanjang 40 sentimeter (sm). 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas mangsa pergi ke Balai Polis Butterworth bagi menyelamatkan dirinya daripada terus diserang.

Menurut beliau, siasatan mendapati kejadian berlaku selepas mangsa terserempak dengan rakannya yang berusia 39 tahun yang secara tiba-tiba bertanyakan apa yang mangsa mahukan. 

“Mangsa yang menjawab dia tidak mahu apa-apa mendakwa terus dipukul dengan topi keledar sebelum mangsa beredar bagi menyelamatkan diri. 

“Namun, apabila sampai di kawasan Taman Cantik, suspek yang menunggang motosikal melanggar motosikal mangsa dari belakang sebelum mengeluarkan sebilah parang dan melibas sehingga kena lengan kanan mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Noorzainy berkata, polis menahan suspek yang positif dadah dan mempunyai dua rekod berkaitan dadah  di Taman Cantik serta merampas sebilah parang sejurus menerima laporan. 

“Bagaimanapun, punca kejadian tidak dapat dikenal pasti kerana mangsa tidak tahu dan dia mendakwa dia  tiada masalah dengan suspek serta hanya syak suspek adalah penagih dadah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN