Langkah Sheraton: Saman pengundi Gombak terhadap Azmin dibicara Jun 2022 - Utusan Malaysia

Langkah Sheraton: Saman pengundi Gombak terhadap Azmin dibicara Jun 2022

Mohamed Azmin Ali
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Saman 10 pengundi berdaftar Parlimen Gombak terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan dibicarakan empat hari tahun depan bermula 7 Jun.

Ia berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Datuk Akhtar Tahir yang menolak permohonan Mohamed Azmin untuk membatalkan saman tersebut pada prosiding secara atas talian.

Peguam, N. Yohendra yang mewakili kesemua pengundi tersebut ketika dihubungi media berkata, mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati terdapat beberapa isu yang perlu diputuskan melalui perbicaraan.

“Oleh itu kes akan mula dibicarakan pada 7 hingga 10 Jun 2022. Mahkamah turut menetapkan pengurusan kes itu pada 4 April 2022,” katanya.

Pada 12 Mac lalu, Mohamed Azmin memfailkan permohonan itu atas alasan saman tersebut tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah, remeh, menyusahkan, suatu penyalahgunaan proses mahkamah dan melanggar hak asasi beliau untuk bebas berpersatuan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Fasal (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 27 November 2020, 10 pengundi berdaftar di kawasan Parlimen Gombak memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajiban fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari tahun lepas. 

Sementara itu, peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili Mohamed Azmin pada prosiding tersebut memberitahu, Hakim Akhtar turut menolak permohonan pengundi-pengundi terbabit untuk memadamkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan anak guamnya.

“Perenggan-peranggan yang dimohon untuk dipadamkan merupakan sebahagian daripada isu ditimbulkan di dalam penyata tuntutan plaintif (pengundi Gombak) maka ia tidak boleh dipadamkan,” ujarnya ketika dihubungi media.

Tambahnya, beliau telah mendapat arahan daripada Mohamed Azmin untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Menurut pernyataan tuntutan 10 pengundi Gombak yang berusia antara 37 hingga 65 tahun itu, Mohamed Azmin selaku defendan telah membuat pelbagai janji termasuk menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 di bawah tiket parti PKR untuk menyingkirkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pegawai-pegawai awam yang korup.

Defendan pada pilihan raya itu memenangi Parlimen Gombak serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa dan kemudiannya dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh kerajaan PH.

Bagaimanapun pada 23 Februari 2020, defendan didakwa menyebabkan berlakunya Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan PH berpecah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Langkah itu juga turut menyebabkan gabungan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi Perdana Menteri.

Sehubungan itu, plaintif mendakwa janji-janji dibuat  Mohamed Azmin adalah palsu dan beliau hanya mahu mendapatkan undi serta tidak berusaha untuk memenuhinya.

Oleh itu, kesemua plaintif memohon satu deklarasi bahawa Mohamed Azmin mempunyai tugas fidusiari dan pemegang amanah para pengundi di kawasan parlimennya dan beliau telah mengingkari, menipu dan memungkiri undi dan sumpah yang dibuat.

Selain itu, plaintif memohon ganti rugi keterlaluan, kos atas dasar asas tanggung rugi (indemnity) dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya