Guna sistem berasaskan projek, masa anjal untuk galak pembabitan pelajar - Utusan Malaysia

Guna sistem berasaskan projek, masa anjal untuk galak pembabitan pelajar

PELAJAR sedang mengikuti kelas pendidikan khas oleh Zulhelmi Alidaniah di Kampung Kawiyan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Bagi memastikan pelajar terus mendapat ilmu walaupun dalam keadaan yang mencabar dan tidak menentu akibat pandemik, seorang guru perlu kreatif dan inovatif dalam menentukan sistem serta teknik mengajar.

Itu yang dilakukan seorang guru muda, Zulhelmi Alidaniah apabila berhadapan cabaran mengajar murid berkeperluan khas dalam tempoh pandemik di Sekolah Menengah Ulu Sugut, Ranau, Sabah.

Sepanjang tahun lalu, akibat kekurangan yang tidak dapat dielakkan, pihak sekolahnya mencadangkan supaya guru-guru mengajar secara bersemuka di mukim-mukim yang ditetapkan dengan tempoh kelas antara empat hingga lima jam sehari.

Memahami latar belakang muridnya yang pelbagai dan kesukaran menjalankan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), guru berusia 28 tahun itu mengubah suai sistem pengajarannya kepada sistem berasaskan projek dan masa anjal.

“Ini kerana pembelajaran berasaskan projek mempunyai peruntukan masa yang lebih panjang untuk menyiapkan tugasan sementara tempoh anjal dapat membantu pelajar mengikuti pembelajaran ketika waktu senggang. 

“Terdapat dalam kalangan pelajar yang membantu keluarga menoreh getah atau ke kebun. Waktu anjal ini banyak membantu dan tidak membebankan mereka.

“Malah, penerimaan pelajar juga jauh lebih baik dengan peningkatan lebih 50 peratus berbanding mengajar secara dalam talian,” katanya. 

BERSAMA para pelajar ketika kelas penghasilan pastri pada September tahun lalu.

Tambah Zulhelmi, dalam menghadapi sekatan pergerakan penuh kali ini, pihak sekolah sudah bersedia dengan modul yang lengkap dan lebih tersusun memandangkan kerajaan mengumumkan sekatan itu lebih awal.

“Kita telah menyiapkan bahan untuk tempoh dua minggu ke depan sekiranya sekatan pergerakan dipanjangkan memandangkan kes Covid-19 masih tinggi  di negeri ini. Kita juga tidak boleh turun ke kawasan pada setiap hari kerana menjaga prosedur operasi standard (SOP) demi keselamatan penduduk dan orang ramai.

“Kami akan memberitahu masa untuk turun ke kawasan melalui kumpulan Whatsapp Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau kelas dalam memastikan ibu bapa dan pelajar peka dengan kedatangan kami, sekali gus membolehkan sistem pengajaran dan pembelajaran dilakukan dengan baik,” jelasnya.

Dia yang merupakan penerima Anugerah Guru Pendidikan Khas Cemerlang Daerah Ranau pada tahun lalu akan terus berusaha dalam  mengubah nasib sekolah di pedalaman agar mendapat akses pendidikan yang sama seperti di bandar.

ZULHELMI ALIDANIAH

Jelasnya, kejayaan dalam memastikan  program pendidikan khas dapat dijalankan di kawasan pedalaman pada 2018 menjadi permulaan untuk dirinya diangkat sebagai penerima anugerah berkenaan.

“Saya datang ke sekolah ini dengan keadaan program yang tergendala ekoran ketiadaan guru pendidikan khas. Jadi,  saya bermula dari kosong sehinggalah pada tahun lalu kita dapat lihat banyak peningkatan dalam  pembangunan Program Pendidikan Khas yang dijalankan di sekolah. 

“Syukur, respon yang diterima sangat positif dan memberangsangkan, sekali gus menjadi pembakar semangat untuk saya terus menabur bakti dan membangunkan lagi program  Program Pendidikan Khas Integrasi  (PPKI)  di kawasan pedalaman ini.

“Saya tidak menyangka akan menerima anugerah tersebut daripada Pejabat Pendidikan Daerah Ranau (PPD) kerana saya masih muda dalam urus tadbir di sekolah. Namun saya percaya mereka melihat kepada kesungguhan dan lonjakan dilakukan  di sekolah, selain penglibatan aktif di peringkat daerah dan negeri.

“Anugerah itu juga diterima kerana pihak PPD melihat usaha saya yang sentiasa melibatkan pelajar  dalam apa jua  aktiviti atau pertandingan di peringkat daerah mahupun negeri. Melalui cara itu, saya dapat membawa pelajar melihat dunia luar,” katanya yang juga aktif berpersatuan.

Berhadapan pelajar istimewa yang terdiri daripada pelbagai ketidakupayaan menjadi antara cabaran besar dalam memastikan pendidik berjaya menyampaikan ilmu agar selari dengan sistem pendidikan negara.

Mengakui bukan perkara mudah, Zulhelmi tabah menyahut cabaran itu walaupun berdepan pelbagai cabaran semasa proses pembelajaran.

Tiga tahun mendidik pelajar  pendidikan khas di sekolah tersebut tidak pernah menyebabkan  guru  berusia 28 tahun itu berputus asa untuk membantu anak-anak istimewa  mendapat pendidikan yang sama dengan murid arus perdana. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN