PUTRAJAYA – Pelaksanaan fasa tiga Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di tujuh buah negeri yang telah memberi janji temu melebihi 80 peratus kepada kumpulan fasa 2 kini memulakan fasa seterusnya secara berperingkat.
Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, tujuh negeri berkenaan termasuk Melaka, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak.
“Sehingga semalam, daripada jumlah 16,742,895 yang berdaftar dalam PICK, seramai
5,363,387 individu berdaftar bagi fasa dua dan 11,379,508 individu bagi fasa tiga,” katanya dalam sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.
Fasa tiga PICK bermula 20 Jun lalu dengan dimulakan dengan penduduk di Lembah Klang termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
Dalam pada itu, Khairy berkata, bilangan keseluruhan yang telah divaksinasi adalah sebanyak 7,824,912 dan jumlah ini akan mencecah lapan juta dos pada hari ini seperti mana yang disasarkan.
Menurutnya, ketika ini, kadar vaksinasi negara terus meningkat dan konsisten, malah, mencapai rekod baharu pada 24 Jun lalu dengan 268,604 suntikan dos sehari.
“Purata pemberian suntikan vaksin sepanjang minggu lalu juga meningkat 19 peratus berbanding pada minggu sebelumnya.
“Selepas ketibaan lebih banyak bekalan nanti, kita akan terus menyasarkan kepada penanda aras baharu yang lebih tinggi selari dengan sasaran Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk mencapai imuniti yang luas secepat mungkin,” katanya.
Katanya, beliau juga menyambut baik suntikan peruntukan tambahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) iaitu tambahan bekalan vaksin sebanyak RM400 juta.
Selain itu, Khairy berkata, sejumlah 9,383,114 dos vaksin telah diedarkan ke seluruh negara membabitkan Pfizer sebanyak 4,526,730 dos, Sinovac (4,030,684 dos) dan AstraZeneca (825,700 dos).