EORGETOWN: Bagi Mariani Saad dan suami, Fazlishah Ismail, 41, yang memiliki dua anak istimewa berusia 13 dan lima tahun, proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) adalah satu proses mencabar.
Mariani, 37, berkata, sejak PKP, anak bongsunya, Nor Rania Izara, 5, pelatih di Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Teluk Bahang meneruskan PdPR di rumah dengan lembaran kerja serta latihan-latihan disediakan petugas PPDK.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, tidak dinafikan sepanjang menjadi ‘guru sementara’ di rumah pelbagai cabaran dihadapi untuk memastikan anak bongsunya yang menghadapi masalah pembelajaran kekal fokus.
‘’Anak bongsu saya sukar memberikan perhatian ketika proses PdPR, dia hanya boleh lakukan lembaran kerja dalam masa 10 minit, malah saya juga perlu tinjau keperluan anak sulung yang menghidap cerebral palsy (CP).
“Memang agak tertekan menjadi guru sementara ini, namun saya bernasib baik kerana para petugas serta penyelia PPDK Teluk Bahang banyak membantu dari segi menyediakan lembaran kerja dan membantu saya teknik mengajar anak istimewa di rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Teluk Bahang semalam.
Mariani seorang suri rumah berkata, ketika suaminya keluar bekerja sebagai pemandu ambulans, dia menguruskan PdPR bagi Nor Rania Izara dengan bantuan anak sulungnya, Nor Dania Syazana, 17.
“Dalam tempoh seminggu, saya perlu merakam perkembangan Nor Rania Izara untuk diserahkan kepada PPDK yang memantau segala proses pembelajaran di rumah.
“Apabila menjadi guru di rumah baru saya faham bagaimana besarnya pengorbanan petugas-petugas PPDK mengajar anak-anak istimewa,” katanya.
Dalam pada itu, petugas PPDK Teluk Bahang berkata, Syuhada Mohd Syarif, 41, berkata, terdapat seramai 31 pelatih berusia satu hingga 50 tahun di PPDK Teluk Bahang dan mereka menjalani PdPR di rumah pada PKP.
“PdPR pelatih istimewa ini tidak boleh dijalankan sama seperti pelajar biasa kerana komunikasi dua hala tidak dapat dijalankan. – UTUSAN
