Ambilan guru one-off rencat kualiti pendidikan? - Utusan Malaysia

Ambilan guru one-off rencat kualiti pendidikan?

ANUAR AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun niat Kementerian Pendidikan adalah untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru, namun strategi digunakan tidak sesuai dan bakal menimbulkan lebih banyak masalah kepada struktur dan kualiti perguruan.

Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berkata, dua masalah besar bakal berlaku adalah kualiti pendidikan negara terjejas apabila lepasan bukan ijazah pendidikan mengajar tanpa kemahiran pedagogi dan lambakan graduan pendidikan lebih serius di masa hadapan.

Katanya, ia akan memberi kesan kepada kewujudan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan fakulti pendidikan di universiti awam (UA) di seluruh Malaysia.

“Apakah pengambilan secara one-off ini akan merencatkan perancangan unjuran program pengajian pendidikan di UA dan IPG? Jawabnya ya. Apabila pengisian jawatan baharu berlaku secara one-off, maka keperluan lepasan ijazah pendidikan lebih mengecil kerana perjawatan telah penuh.

“Apa kesudahannya kepada graduan pendidikan yang akan tamat belajar nanti sedang mereka telah dilatih spesifik untuk keguruan, mereka tentunya tiada kemahiran di dalam bidang yang lain,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin mengumumkan pengambilan khas secara one-off melibatkan 18,702 pegawai pendidikan gred DG41 untuk mengatasi kekurangan guru di negara ini dengan iklan tawaran pada 7 Julai ini dan penempatan secara berperingkat bermula Oktober.

Dalam pada itu, Anuar menambah kesediaan Kementerian Pendidikan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk menerima graduan bukan pendidikan mengisi jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 ini adalah sangat mengecewakan.

Katanya, sepatutnya hanya graduan bidang pendidikan sahaja layak memohon dan diterima untuk mengisi 18,702 jawatan baharu one-off itu.

“Analoginya, bolehkah kita mengambil graduan bidang lain untuk menjadi doktor, peguam atau jurutera? Mengapa dalam profesion keguruan ini dibenarkan? Bukankah ini satu tindakan yang tidak profesional dan akan menjejaskan kualiti keguruan negara?

“Apakah ibu bapa bersedia anak-anak mereka diajar oleh seorang guru yang tiada langsung latar belakang pendidikan? Ini sudah seperti tahap kelas tuisyen swasta dan bukan lagi menggambarkan sebuah institusi sekolah kerajaan. Kementerian telah melakukan tindakan yang tidak tepat dan ini akan merosakkan kualiti pendidikan di Malaysia apabila membenarkan graduan bukan pendidikan untuk mengisi jawatan guru secara one-off,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×