Ambil semula ruang udara selatan Malaysia - Utusan Malaysia

Ambil semula ruang udara selatan Malaysia

AZMI HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mempercepat proses rundingan dengan Singapura bagi mendapatkan semula ruang udara di selatan Malaysia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, rundingan itu seharusnya menjadi antara agenda penting kerajaan bagi memastikan ruang udara tidak diceroboh dengan sewenang-wenangnya.

Katanya, kawalan ruang udara negara terutama di bahagian selatan Malaysia perlu diambil secara sepenuhnya.

“Apabila kawalan udara diberikan kepada Singapura hasil perjanjian pada 1974, ketika itu kelengkapan, aset dan pemantauan kita masih kurang berbanding Singapura tetapi ketika ini kita sudah mampu. Indonesia juga berdepan isu sama apabila ruang udara kepulauan Riau di bawah kawalan Singapura dan rundingan sedang dijalankan.

“Persetujuan dicapai pada 2019 antara Malaysia dan Singapura bahawa kawalan udara diserahkan secara berperingkat dan selesai pada hujung 2023. Masalahnya ia memerlukan rundingan berterusan dari pihak kita. Tun Dr. Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri) ketika itu melihat kepentingan strategi, kenapa pentingnya ruang udara dikawal kita sendiri,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan bekas Menteri Luar, Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar bahawa ruang udara negara dikuasai Singapura setelah pesawat awam Israel melaluinya pada 19 Mei lalu.

Kementerian Pengangkutan sendiri mengesahkan perkara tersebut namun pesawat yang turut membawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu tidak dibenarkan mendarat atau berlegar-legar di ruang udara Malaysia.

Bagaimanapun, Azmi mempersoalkan kesungguhan kerajaan dalam mengambil semula ruang udara yang sepatutnya di bawah kawalan Malaysia.

“Bila Perdana Menteri bertukar tangan, segala usaha rundingan bagaikan berhenti seperti tidak ada persiapan bersungguh untuk memperoleh kebenaran Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk mempamerkan kita telah bersedia.

“Jadi ini bergantung kepada kepimpinan politik. Ruang udara selatan Johor perlu dikembalikan, tetapi ini memerlukan kekuatan dan iltizam daripada kita. Kita hanya boleh salahkan diri  sendiri kerana agak leka dan tidak mahu memaksa Singapura, mereka pun seboleh-bolehnya melengahkannya kerana mereka tahu itu kepentingan strategik,” katanya.

ADAM LEONG KOK WEY

Dalam pada itu, pensyarah Universiti Pertahanan Negara Malaysia (UPNM), Prof. Madya Dr. Adam Leong Kok Wey berkata, kerajaan perlu mempunyai dasar tersendiri bagi memastikan tiada satu pesawat dari Israel pun yang boleh memasuki ruang udara negara pada masa akan datang.

“Kita nak tahu apa polisi kerajaan ketika ini. Apakah kerajaan ada tetapkan larangan terhadap mana-mana pesawat Israel daripada melalui negara kita? Dasar yang khusus ini penting kerana ia isu antarabangsa. Jadi, wajar berunding dengan Singapura kerana ia isu sensitif dan ia perlu diseimbangkan dengan polisi negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN