JEMPOL: Berdasarkan tinjauan awal Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di daerah ini, terdapat masyarakat Orang Asli yang mempercayai dan menganggap Covid-19 adalah sejenis ‘hantu’.
Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif berkata, rata-rata Orang Asli yang menolak pemberian vaksin Covid-19 memberi alasan dan berpegang kepada kepercayaan itu.
Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) memberitahu, hasil usaha berterusan yang dilakukan pihaknya, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan kepimpinan setempat, kepercayaan itu dapat dihapuskan sehingga ramai yang bersetuju menerima vaksin.
“Orang Asli yang kita dampingi ini akhirnya mempunyai keyakinan diri bahawa tiada ubat lain tetapi melalui pengambilan vaksin mampu melindungi diri mereka daripada Covid-19.
“Menerusi kunjungan yang dilakukan, kita tingkatkan lagi kesedaran mereka berkenaan kepentingan vaksinasi bagi membendung penularan pendemik,” katanya pada Program Vaksinasi Bergerak Orang Asli di Kampung Orang Asli Panchor, di sini hari ini.
Program itu dihadiri oleh Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk L. Manickam.
Dalam program berkenaan, seramai 260 penduduk dari dua buah perkampungan Orang Asli iaitu Panchor dan Ban Peti menerima suntikan vaksin jenis Sinovac yang dilakukan oleh Unit Mobile PKD termasuk tujuh penerima vaksin yang menerimanya di rumah masing-masing.
Sementara itu, seorang wanita orang Asli dari suku Temuan, Zaleha Abdullah, 65, berkata, sebelum dikunjungi pemimpin setempat dan doktor beberapa hari lalu, dia antara yang takut untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Saya tidak tahu pun apa tu vaksin, tapi tahu ada penyakit Covid-19 dan setiap orang kena sentiasa pakai pelitup muka bagi elak terkena jangkitan.
“Apabila mereka terangkan kepentingan vaksin yang boleh melindungi diri saya dari Covid-19 saya bersetuju untuk terima dan rupa-rupanya suntikan ini tidak sakit pun,” katanya. – UTUSAN ONLINE










