SEREMBAN: Kira-kira 1.9 juta dos vaksin Covid-19 diperlukan bagi menjayakan pelaksanaan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) menjelang akhir September depan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah tersebut termasuklah jaminan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covis-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin iaitu sebanyak 600,000 vaksin diperuntukkan ke dalam program PIKAS pada bulan hadapan.
Menurut beliau, ia diikuti dengan sebanyak 600,000 dos vaksin lagi pada bulan Ogos dan seterusnya sejumlah 795,000 vaksin pada bulan September.
“Kita mahu pastikan program PIKAS lancar kerana sambutan diterima daripada majikan dan pekerja cukup positif. Saya telah memohon kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Kesihatan dan kedua-dua kementerian menyokong PIKAS.
“Kita perlukan pada bulan Julai sebanyak 600,000 dos vaksin, pada bulan Ogos sebanyak 600,000 dos lagi dan 795,000 dos vaksin pada bulan September.
“Bekalan vaksin ini penting untuk menjayakan PIKAS. Kita jangka menjelang akhir bulan September kita boleh lengkap kesemuanya dan kita akan capai tahap imuniti kelompok dalam sektor pembuatan,” katanya.
Mohamed Azmin berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) PIKAS di D’Tempat Country Club, Sendayan dekat sini hari ini.
Sementara itu, menurut beliau, setakat ini sebanyak 49 buah PPV bagi PIKAS termasuk 24 PPV penggunaan umum dan 25 PPV tapak premis yang bersedia memberikan suntikan kepada pekerja sektor perkilangan dan pembuatan di seluruh negara termasuk kira-kira 73,100 pekerja sektor tersebut di Negeri Sembilan.
“Pada ketika ini kita sedang melihat keperluan tambahan. Majikan cukup positif untuk menyediakan fasiliti PPV di tapak premis seperti di Pulau Pinang minggu lepas ada permohonan untuk tambahan tiga buah lagi dan kita bersetuju untuk berikan kelulusan.
“Di pihak kementerian kami akan terus berbincang dengan Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi tentang keperluan ini, namun kita telah ada unjuran tetapi kalau ada tambahan dan keperluan kita akan siapkan PPV tersebut,” katanya lagi.
Dalam pada itu, jelas Mohamed Azmin, PPV dalam PIKAS yang pertama di Negeri Sembilan akan beroperasi di D’Tempat Country Club, Sendayan dekat sini bermula 5 Julai depan.
“Di sini kita telah menerima pendaftaran 11,491 orang pekerja di sekitar Nilai, Sendayan dan Seremban yang akan gunakan kemudahan ini. Kapasiti di sini adalah sebanyak 1,500 suntikan setiap hari dan saya berharap ia dapat berjalan lancar bermula 5 Julai nanti,” katanya.- UTUSAN