Volvo S90: Mewah, selamat, lestari - Utusan Malaysia

Volvo S90: Mewah, selamat, lestari

MODEL S90 menampilkan reka bentuk luaran yang mewah dengan sentuhan estetika Volvo Car. - UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dunia Permotoran

Volvo S90 Recharge T8 merupakan model baharu yang dipertaruhkan oleh Volvo Car Malaysia (Volvo) untuk pasaran tempatan.

Model sedan premium empat pintu dan lima tempat duduk itu telah dikemaskini dengan reka bentuk, kemasan luaran dan hiasan dalaman baharu serba mewah.

Dibangunkan melalui platform Scalable Produk Architecture (SPA) dan dikuasakan oleh Volvo Drive-E powertrain, ia dilengkapi enjin berkembar T8 dan bateri boleh caj semula jenis lithium-ion yang berupaya menghasilkan 407 kuasa kuda dan 640Nm Tork.

Gabungan enjin empat silinder dan motor elektrik berkuasa berupaya memberikan prestasi pemanduan, pada masa yang sama menghasilkan kadar pelepasan karbon dioksida (CO2) yang rendah, seiring dengan matlamat industri automotif global sekarang.

Penulis berpeluang untuk sesi pandu uji bagi merasai sendiri `kehebatan’ S90, baru-baru ini.

S90 Recharge T8 dikatakan mirip model XC90 apabila menggunakan warisan Volvo Car yang kaya dengan ciri elegan terutama dalam reka bentuk.

MOTIF Scandinavia digabungkan dalam rekaan dalaman kabin kereta. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Gabungan reka bentuk minimalis dan corak gaya dan ciri estetik Volvo dapat dilihat sebaik sahaja membuka pintu S90 di Menara Symphony, Petaling Jaya.

Lampu belakang juga telah dikemas kini dengan rekaan mirip model S60 T8 R-Design yang dilancarkan sebelum ini. Kesemua ciri ini digabungkan sekali gus menampilkan elemen kemewahan dan sedikit ciri sporty pada S90.

Rekaan lampu utama LED gaya `Tukul thor’, gril menegak krom dan rekaan kemasan yang menonjol pada bahagian belakang menyerlahkan lagi ciri elegan model ini.

Penulis akui sedikit kekok pada awal mengemudi jentera ini yang turut menampilkan motif Scandinavia dalam kabinnya, dengan rekaan bilah udara menegak di setiap sisi antara muka Sensus, tempat duduk hadapan dan bumbung yang meningkatkan lagi ciri estetika penuh elegan pada model ini.

Enjin berkembang T8 yang dipasang pada model ini memberikan pengalaman pemanduan yang lancar, lincah dan hebat. Ia dapat dialami sebaik sahaja enjin dihidupkan, tanpa kedengaran bunyi bising dari dalam.

Saiz S90 yang agak besar sedikit `gangguan’ kepada mereka yang lebih selesa dengan kenderaan bersaiz sederhana atau lebih kecil.

Bagaimanapun, tidak perlu bimbang kerana S90 dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan yang diperlukan oleh sebuah kenderaan mewah, seperti kamera 360 darjah yang membolehkan pemandu `mengawasi’ setiap inci badan jentera.

KAMERA pada logo Volvo membolehkan pemandu membuat pengawasan semasa memandu. – UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON

Dengan sistem Inttelisafe Volvo, model ini dilengkapi teknologi keselamatan terkini seperti Blind Spot Information system (BLIS), City Saftey, Cross Traffic Alert, Front and rear Warning and Mitigation Support, Lane Keeping Aid, Pilot Assist dan banyak lagi.

Justeru itu, sebagai sahaja anda memasuki kereta dan menghidupkan enjin, adalah sebaiknya sistem-sistem keselamatan diaktifkan. Kesannya, dapat dirasainya sebaik sahaja S90 digerakkan dan menyusur di jalan raya.

Punat untuk menghidupkan enjin sedikit berbeza dengan kebanyakan kenderaan lain apabila ia tidak perlu ditekan, sebaliknya dipusingkan ke kanan. Tombol gear berbentuk kristal menyerlahkan kemewahan dan keunikan S90.

Untuk keluar daripada kawasan letak kereta yang mungkin sempit, anda akan dipandu oleh sistem keluar masuk yang dipaparkan pada skrin sesentuh berbentuk potrait bersaiz 9 inci.

Mengemudi S90 dalam kesesakan di Petaling Jaya tidaklah melelahkan. Sistem keselamatan yang ada memudahkan pemanduan anda. Sekiranya anda terlalu hampir dengan kenderaan di hadapan atau ada kenderaan terlalu dekat, sistem Cross Traffic Alert dan Front and Rear warning akan berfungsi. Lampu amaran akan muncul pada skrin dan cermin sisi kiri atau kanan.

Sistem bunyi Bowers & Wilkins yang dinaik taraf sepenuhnya memberikan S90 prestasi audio berkelas tinggi.

Penulis turut berpeluang menguji S90 di Lebuh Raya ELIT dan Kuala Selangor. Pemanduan sangat lancar, meskipun paparan meter menunjukkan menghampiri angka 150 kilometer. Tiada terasa gegaran pada stering dan badan kenderaan. Sistem menyerap hentakan berperanan cukup baik, apabila gegaran tidak dirasai setiap kali melalui permukaan jalan tidak rata.

Badan kenderaan juga tidak terasa melayang ketika melalui selekoh pada kelajuan agak tinggi.

Sistem Lane Keeping Aid dan Pilot Assist banyak membantu dalam keadaan ini. Anda tidak boleh menukar laluan secara tiba-tiba. Anda akan terasa stereng menarik ke laluan asal. Sebaliknya, stereng boleh dikemudi dengan mudah, jika pertukaran laluan dimulakan dengan memberikan lampu isyarat ke kiri atau kanan.

Ringkasnya, bagi yang mencari kenderaan dengan ciri-ciri keselamatan tinggi, mewah dan lestari atau mesra alam, S90 adalah jawapannya. – UTUSAN

 

Info:

Harga: RM339,315 (selepas pengecualian cukai jualan, tanpa insurans)

Warna: Bright Silver, Crystal White Pearl, Onyx Black, Platinum Grey dan Thunder Grey

kapasiti Enjin: 1969 cc

Tork maksimum: (hp@rpm): 640@1200-5400

Maksimum kelajuan: 180 km/jam

Transmisi, gear: 8 kelajuan automatik dengan Geartronic

Bahan api-gabungan kitaran (liter/100km): 2.1

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN