Rumah dinaiki air, tiga beradik tekad papah bapa - Utusan Malaysia

Rumah dinaiki air, tiga beradik tekad papah bapa

NUR ASYIKIN Kasmun (kiri) dan Rosnani Ahmad mengangkat bekas kuih raya yang terapung dalam air banjir di rumah mereka di Kampung Sungai Putat, Bukit Beruang, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiga beradik termasuk dua remaja bertekad memapah bapa mereka yang menghidap strok untuk keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri semasa air banjir mulai mencecah paras dada dalam kejadian banjir kilat di Kampung Sungai Putat, dekat sini.

Nur Asyikin Kasmun, 17, berkata, ketika kejadian, dia dan ahli keluarga sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan neneknya berusia 71 tahun yang tinggal di rumah bersebelahan pada pukul 7 pagi.

Berikutan itu, katanya, dia dan abangnya yang berusia 23 tahun serta adiknya (14 tahun) memindahkan barang elektrik dan perabot ke kawasan lebih tinggi namun pada pukul 9 pagi air mencecah paras dada..

“Memikirkan keselamatan ayah kami menghidap strok dan lumpuh separuh badan, kami bertiga bertekad membawanya keluar rumah dengan memapahnya dan berjalan perlahan-lahan meredah arus sambil memegang tangan antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Nur Asyikin memberitahu, sewaktu kejadian, ibunya, Rosnani Ahmad, 51, sedang bekerja dan hanya pulang ke rumah pada pukul 12 tengah hari.

Rosnani ketika ditemui berkata, kejadian banjir kilat itu adalah yang terburuk pernah melanda penduduk di kawasan itu.

“Sebelum ini kalau hujan lebat, memang banjir tetapi tidaklah sehingga mencecah paras dada, hanya setakat paras buku lali.

“Saya percaya kejadian banjir kilat ini disebabkan limpahan air sungai berdekatan setelah tembok pengahadang dibina sebelum ini dipecahkan gara-gara ingin menjadikan kawasan itu sebagai tempat rekreasi,” katanya.

Beberapa kawasan di negeri ini terjejas teruk akibat dilanda banjir kilat susulan hujan lebat sejak kelmarin.

Antara kawasan yang terjejas teruk adalah Taman Melawis, Taman Kerjasama, Taman Bukit Beruang Utama dan Kampung Sungai Putat di Bukit Beruang.

Selain itu, turut dinaiki air adalah Taman Rambai Jaya, Taman Rambai Indah dan dua kampung di Durian Tunggal iaitu Kampung Padang Keladi dan Kampung Bukit Balai. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya