PRN Sarawak: Peluang GPS menang cerah? - Utusan Malaysia

PRN Sarawak: Peluang GPS menang cerah?

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pada 6 Jun ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan terbubar, namun belum ada tanda-tanda untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan akibat pandemik Covid-19.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, akan menghadap Yang di-Pertuan Agong tidak lama lagi berhubung isu ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, PRN seharusnya diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran DUN, tetapi ia tidak boleh diadakan berikutan Proklamasi Darurat berakhir 1 Ogos ini.

“Bila tamat Darurat 1 Ogos nanti, maka 60 hari dari tempoh itu perlu diadakan PRN Sarawak, namun ia bergantung kepada peningkatan jumlah kes. Perlu diingat, apa sekalipun undang- undang berkaitan PRN akan terbatal bila isytihar Darurat.

“Tetapi, jika darurat tidak disambung selepas Ogos nanti, PRN boleh diadakan, namun ia harus mengambil kira kes Covid-19 sama ada menurun dengan banyak atau tidak. Segalanya akan ditentukan Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri nanti, ” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Awang, pola pengundian dijangka berubah kerana pada PRN sebelum ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertanding menggunakan logo Barisan Nasional (BN), tetapi kali ini bertanding atas logo sendiri kerana GPS kini lebih `mesra’ kepada Perikatan Nasional (PN).

Keadaan ini menimbulkan persoalan adakah GPS mampu kekal sebagai pemerintah di Sarawak walaupun kerajaan pusat telah memberi sumbangan besar kepada negeri itu apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju menyelesaikan isu berhubung tuntutan Sarawak terhadap Petronas seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kerajaan negeri Sarawak dapat SST RM3 bilion daripada Petronas, itu adalah kejayaan besar yang diperoleh kerajaan negeri Sarawak. Ia memang memberi impak kepada GPS kerana berjaya berunding mengenai perkara itu.

“Dalam hal lain pula, walaupun kita lihat baru pertama kali GPS guna logo mereka, logo GPS mewakili kepentingan politik domestik dan tempatan di Sarawak, Sekarang ini GPS dilihat lebih bebas dan menjuarai isu rakyat berdasarkan kepentingan negeri Sarawak,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yakin GPS mampu menawan semula kawasan-kawasan bandar yang dipegang DAP seperti Sibu dan Kuching.

Rohani Abdul Karim

“Kita tak dengar apa yang mereka buat, kita tak nampak mereka waktu-waktu kesusahan kini. Yang jaguh-jaguh itu tak ada. Dan dalam sosial media pun wakil-wakil DAP ini kurang. Kita tak berani nak cakap pasal orang, tapi itu yang kita lihat.

“Jadi saya lihat peluang nak menang di kawasan bandar itu ada. Tapi kita tak pernah bezakan bandar dan luar bandar, sama sahaja. GPS beri bantuan tidak kira itu orang DAP atau parti mana. Jadi pengundi boleh lihat sendiri segala usaha yang GPS lakukan khususnya dalam menangani Covid dan vaksinasi ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Rohani turut berkata, GPS telah menjalankan gerak kerja lebih awal dan kini sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan menjelang PRN Sarawak yang akan diadakan bila-bila masa.

“Walaupun sibuk dengan Covid-19, kita memang asyik ingatkan jentera untuk sentiasa bersiap-siaga, apa yang mereka boleh buat untuk dekati pengundi, kita akan buat. Cara kali ini agak berbeza, tidak boleh turun dari rumah ke rumah, kita ada cara kita sendiri untuk mendekati pengundi menerusi kumpulan WhatsApp dan sebagainya.

“Untuk logo pula, ia tidak menjadi masalah kerana dari awal kita sudah perkenalkan logo kita kepada masyarakat di Sarawak. Jika sebelum ini kita gunakan logo BN, tetapi GPS boleh menang dengan logo kita sendiri kali ini,” ujarnya.

Katanya, GPS yang kini di bawah pentadbiran Datuk Patinggi Abang Johari menerima cabaran besar yang tidak pernah dilalui sebelum ini.

Namun jelas Rohani, Abang Johari memiliki karakter yang mudah didekati rakyat sekali gus menjadi antara faktor kepada penyumbang kemenangan GPS pada PRN Sarawak nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×