PGA Senoi Praaq tahan lapan pemburu haram - Utusan Malaysia

PGA Senoi Praaq tahan lapan pemburu haram

LELAKI yang ditahan kerana memburu secara haram di Hutan Simpan Padang Terap, Kedah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kegiatan lapan lelaki tempatan yang dipercayai berburu secara haram di Hutan Simpan Padang Terap, Kedah mengundang padah apabila ditahan sepasukan anggota Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq, Briged Utara semalam.

Mereka yang berusia antara 30-an hingga 40-an itu ditahan pada pukul 7.30 pagi dalam Op Bersepadu Khazanah yang turut disertai pegawai Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pegawai Pemerintah Batalion 3, PGA Briged Utara, Asisten Komisioner Rosman Kasman berkata, pihaknya melakukan operasi itu berdasarkan maklumat yang diperoleh berhubung kegiatan pemburuan haram di kawasan tersebut.

Menurut beliau, rondaan yang diketuai Inspektor Ahmad Kamil Effendi Ahmed Kamarzaman dan Inspektor Zul Nur Azwan Ghani itu menjumpai sebuah pondok di lokasi dipercayai menjadi tempat pemburuan haram.

“Sebaik sahaja didekati, kelihatan seorang lelaki berada di luar pondok manakala tujuh yang lain di dalam pondok tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut kemudian menemukan dua laras senapang patah bersama 11 butir peluru hidup dipercayai bagi tujuan pemburuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Kesemua lapan lelaki itu kemudian dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya.

Rosman berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Katanya, kesalahan itu juga disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata api (Penalti Lebih Berat) yang boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan sebatan jika didapati bersalah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN