PBB, OIC, EU berlaku adillah kepada Palestin - Utusan Malaysia

PBB, OIC, EU berlaku adillah kepada Palestin

WARTAWAN Utusan Malaysia, Mohd. Radzi Mohd. Zin (tengah) menemubual Walid Abu Ali (kanan) di pejabatnya di Kuala Lumpur, semalam. Turut serta Tuan Asmawi Tuan Umar. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Masyarakat antarabangsa dirayu mengheret Israel ke muka pengadilan atas kekejaman dan serangan yang dilakukan ke atas masyarakat awam Palestin terutama di Semenanjung Gaza.

Rayuan itu dibuat oleh Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali selepas tentera zionis secara terang-terangan mencabuli undang-undang antarabangsa dalam serangan sejak dua minggu lalu.

Katanya, ini bukanlah kali pertama Palestin berperang dengan Israel tetapi setiap kali mereka menyerang, mereka dapat melepaskan diri daripada tindakan undang-undang antarabangsa.

Beliau menegaskan, Palestin adalah mangsa ketidakadilan dan double standard.

“Israel selalu dapat sokongan Amerika Syarikat dan negara Barat lain sebab itu mereka terlepas daripada tindakan.

“Sebab itu saya mendesak masyarakat antarabangsa terutama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kesatuan Eropah, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Liga Arab supaya berlaku adil dengan Palestin dan bertindak ke atas Israel. Mengecam mereka sahaja tidak memadai.

“Masyarakat antarabangsa tidak seharusnya terus mendiamkan diri terhadap tindakan tentera rejim zionis kepada penduduk Palestin yang tidak bersalah sebaliknya kerajaan Israel dan kepemimpinannya perlu dibawa ke muka pengadilan melalui Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan eksklusif dengan Utusan Malaysia di pejabatnya di sini, semalam. Turut serta Penasihat Agama dan Modal Insan Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin), Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar.

Ketegangan baru-baru ini yang bermula di Baitulmaqdis Timur pada hujung Ramadan lalu merebak ke Gaza setelah kumpulan pejuang Palestin di sana berikrar membalas serangan Israel di Masjid al-Aqsa dan Sheikh Jarrah jika serangan mereka tidak dihentikan.

Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, tempat Al-Aqsa berada, semasa perang Arab-Israel 1967.

Ia menceroboh seluruh kota pada 1980 dalam gerakan yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa

Walid memberitahu, setakat pagi semalam, jumlah rakyat Palestin yang syahid adalah 237 orang, 6,278 pula cedera manakala lebih 56,000 hilang kediaman akibat bedilan roket Israel.

Katanya, bilangan kanak-kanak tidak berdosa yang terbunuh setakat ini adalah 61 orang diikuti wanita 36 dan 17 lagi warga emas.

Beliau memberitahu, keadaan di Gaza bertambah buruk dengan ramai yang kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berteduh di premis awam seperti sekolah.

“Namun, tentera zionis turut menjadikan kawasan awam tersebut sebagai sasaran bedilan roket mereka sekali gus menambahkan lagi bilangan orang awam yang terbunuh dan cedera.

“Saya minta seluruh umat Islam ambil pendekatan praktikal membantu kami berhadapan jenayah antarabangsa yang dilakukan oleh Israel,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya