Patuhi prosedur guna senjata api elak tragedi- Acryl Sani

Patuhi prosedur guna senjata api elak tragedi- Acryl Sani

ACRYL Sani Abdullah Sani (kiri) menyantuni keluarga Allahyarham Nurhalim Tumiran di Felda Bukit Damar di Lanchang, Temerloh, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Bermain-main dengan senjata api seperti ditunjuk-tunjuk dan mengacu-acukan kepada sasaran adalah pantang larang utama dalam prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan tragedi.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, penggunaan senjata api oleh anggota perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah Akta Polis.

Beliau menegaskan segala peraturan penggunaan senjata api seperti pistol sudah sedia ada dan lengkap untuk melindungi dan menyelamatkan diri.

“Penggunaan dan garis panduan adalah teliti dan cermat seharusnya tidak berlaku kecuaian oleh mana-mana anggota,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarham Konstabel Nurhalim Tumiran, 24, di Felda Bukit Damar, Lanchang di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan dan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail.

Norhalim dilaporkan maut setelah disyaki terkena tembakan rakannya di sebelah kanan kepala dalam kejadian sekitar pukul 7.20 malam, Khamis lali. 

Ketika kejadian, suspek difahamkan sedang bergurau dengan mengacukan pistol sebelum tertekan picu dan melepaskan tembakan ke arah si mati yang sedang bermain permainan video di ruang tamu rumah.

Norhalim meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan Nur Alisya, setahun dua bulan.

Acryl Sani berkata, insiden berkenaan sedang disiasat dari pelbagai sudut bergantung pada hasil siasatan sama ada wujud unsur kecuaian atau kemalangan.

Beliau dalam pada itu berkata, keluarga Allahyarham akan menerima bantuan insuran kelompok koperasi polis dan juga beberapa ganjaran lain sebagaimana kemudahan seorang penjawat awam.

Sementara itu katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bakal menggunakan senjata api renjatan elektrik dalam usaha meningkatkan kecekapan anggota menangani jenayah di negara ini.

“Senjata renjatan ini telah didaftarkan dalam perolehan PDRM dan dijangka dapat digunakan dalam tempoh terdekat sebaik sahaja mendapat peruntukan daripada kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menerima permohonan daripada Jabatan Logistik PDRM bagi tujuan meningkatkan kelengkapan aset pasukan keselamatan itu.

Katanya, kerajaan memang berhasrat untuk meningkatkan aset keselamatan PDRM selari dengan perkembangan dunia global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN