Pampasan: Kedah disaran tuntut daripada Kerajaan Pusat - Utusan Malaysia

Pampasan: Kedah disaran tuntut daripada Kerajaan Pusat

JASENI MAIDINSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan negeri Kedah sewajarnya menuntut pampasan untuk perlindungan undang-undang dan pemuliharaan Ulu Muda daripada Kerajaan Pusat. 

Ketua Pengawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, ini kerana Kerajaan Pusat yang memperoleh cukai berjumlah RM16.4 bilion pada 2019 dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang harus membayar dan memberi pampasan kepada Kerajaan negeri Kedah untuk memastikan keselamatan bekalan air di negeri-negeri Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).  

“Ulu Muda berfungsi untuk tiga negeri di NCER, dan bukan hanya Pulau Pinang. Jadi melihat kepada fakta ini, kami sangat bersetuju Kedah berhak mendapat pampasan untuk melindungi dan memulihara Ulu Muda sebagai Lembangan NCER.  

“Oleh itu, Pulau Pinang dan PBAPP menyokong sepenuhnya tindakan Kedah untuk mendapatkan pampasan daripada Kerajaan Pusat kerana melindungi dan memulihara Ulu Muda,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor dilaporkan menuntut RM50 juta setahun dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana mengabstrak air mentah dari Sungai Muda dan pampasan RM100 juta setahun daripada Kerajaan Pusat untuk menghentikan pembalakan di Hutan Ulu Muda.  

Menurut Jaseni, rasional Kerajaan negeri Kedah memohon pampasan daripada Kerajaan Pusat berdasarkan kepada tiga fakta mudah iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang adalah tiga negeri berjiran di Malaysia, bukan tiga negara yang berbeza.  

“Pada 2019, Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menyumbang sebanyak RM147.8 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan RM16.4 bilion hasil cukai kepada Kerajaan Pusat.  

“Di bawah Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) 2006 (Akta 654) dan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 (Akta 655), Kerajaan Pusat bertanggungjawab kepada perkhidmatan bekalan air di Malaysia,” katanya.  

Oleh itu katanya, tiada alasan atau asas undang-undang bagi Menteri Besar Kedah membezakan Pulau Pinang dengan menuntut pembayaran kerana mengabstrak air mentah dari Sungai Muda.  – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya