PETALING JAYA: Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menasihati penyedia perkhidmatan pengangkutan awam mengutamakan keselamatan penumpang agar nahas tren bertembung tidak berlaku lagi.
NIOSH menyokong tindakan pantas Kementerian Pengangkutan menubuhkan panel pasukan petugas khas bagi menyiasat punca kemalangan selain bersedia menawarkan kepakaran teknikal bagi membantu pasukan petugas khas tersebut.
Pengerusinya, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) patut mengambil tindakan segera dan sewajarnya bagi menyiasat nahas dan seterusnya memastikan kejadian sama tidak berulang.
“NIOSH memberikan peringatan kepada semua perkhidmatan pengangkutan awam sama ada tren, kereta atau bas agar sentiasa mengamalkan budaya kerja selamat, sediakan prosedur kerja berdasarkan pencegahan kemalangan dengan menilai risiko dan kawalan risiko.
“Hal ini termasuk, pihak bertanggungjawab harus memastikan setiap pekerja yang dipertanggungjawabkan sihat atau fit semasa bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, tren membawa 213 penumpang bertembung dengan tren lain di dalam terowong berdekatan KLCC di ibu negara. Susulan itu seramai 47 orang mengalami kecederaan serius manakala yang lain cedera ringan.
Menurut Wilson, insiden yang masih dalam siasatan di bawah Seksyen 201 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 menjadi titik hitam industri pengangkutan awam negara.
“NIOSH yakin kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan khususnya melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat bersama pengendali LRT iaitu Prasarana akan mengambil tindakan segera menyiasat dan seterusnya memastikan kejadian sama tidak berulang” katanya. – UTUSAN