SEREMBAN: Polis mengambil keterangan Noor Neelofa Mohd. Noor selama hampir sejam berhubung laporan selebriti itu mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka sepertimana diwajibkan oleh Kementerian Kesihatan ketika hadir ke Kompleks Mahkamah Seremban, 20 Mei lalu.
Noor Neelofa yang berpakaian baju berwarna kuning tiba di pekarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di Seremban 2, di sini pada pukul 10.15 pagi dengan menaiki kereta BMW dan ditemani suaminya, Muhammad Haris Mohd. Ismail.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, keterangan Noor Neelofa diambil bermula pukul 10.20 pagi dan selesai lebih kurang pukul 11.30 pagi.
“Beliau hadir bersama suaminya dan dua peguam. Sepanjang proses siasatan dijalankan penama, Noor Neelofa memberikan kerjasama yang baik dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Said berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
Mohd. Said turut mengesahkan bahawa Noor Neelifa memakai pelitup muka mengikut SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan ketika hadir memberi keterangan di IPD Seremban.
Sementara itu, Noor Neelofa ketika ditemui sejurus selesai memberi keterangan memberitahu, beliau telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan.
“Kami beri kerjasama yang sepenuhnya (kepada pihak polis),” katanya yang enggan mengulas lanjut.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, pihak polis membuka kertas siasatan terhadap Noor Neelofa pada 21 Mei lalu (Jumaat) susulan terkesan berita di laman sesawang ‘Kosmo Online’ yang tular di mana selebriti itu hadir ke Mahkamah Majistret di Kompleks Mahkamah Seremban pada 20 Mei lalu dengan mengenakan niqab tanpa memakai pelitup muka.
Laporan polis diterima kerana tindakan Noor Neelofa tidak mematuhi SOP pemakaian pelitup muka sepertimana diwajibkan pihak KKM kepada semua orang. – UTUSAN ONLINE










