PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) secara rasminya telah melancarkan Geran Komuniti Petaling Jaya Mampan 3.0 atau juga dikenali sebagai PJ SEED for Sustainability
3.0 bagi tahun 2021.
Pelancaran geran itu merupakan inisiatif MBPJ untuk menjemput organisasi dalam kalangan masyarakat seperti Persatuan Penduduk, Rukun Tetangga, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Badan Pengurusan Bersama, Perbadanan Bersama, Persatuan Ibu Bapa & Guru, Institusi Pengajian Tinggi Awam & Swasta, Tempat Ibadat, Badan/Organisasi bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dan diperakui oleh Majlis untuk merancang dan melaksanakan projek atau inisiatif yang akan membantu Majlis meningkatkan prestasi dalam 10 bidang yang telah ditetapkan.
Bidang yang dimaksudkan adalah Smart City & Digital Economy, Bandar Hijau & Green Economy, Circular Economy & 3R, Low Carbon City, Bandar Selamat, Child Friendly City, Learning City, Pengangkutan & Infrastruktur Berdaya Tahan, Universal Design, dan Soceity 5.0.
Bidang tersebut telah dipilih sama ada visi masa depan Majlis selaras dengan SDG 2030 ataupun atas kejayaan pencapaian Majlis dan perakuan yang diperolehi samada di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa dalam bidang berkenaan.
Objektif utama Geran Komuniti ini adalah untuk meningkatkan prestasi MBPJ dalam 10 bidang berkaitan menerusi penyertaan masyarakat, rakan perkongsian dan inklusif ke arah Petaling Jaya Mampan 2030.
Dalam erti kata lain, memberikan bantuan kewangan permulaan kepada masyarakat untuk mengesyorkan dan melaksanakan inisiatif yang akan membantu meningkatkan program, strategi dan hala tuju Majlis dalam bidang yang telah digariskan.
Organisasi yang berminat untuk membantu meningkatkan prestasi MBPJ dalam pembangunan mampan Petaling Jaya khususnya pencapaian Sustainable Development Goal (SDG 2030) adalah dialu-alukan untuk mengemukakan permohonan sebelum atau pada 30 Ogos 2021.
Majlis berharap inisiatif yang dilaksanakan ini akan mendapat sambutan dan penglibatan daripada masyarakat setempat agar objektif yang dirancang dapat dilaksanakan serta memberi manfaat kepada semua pihak.
Untuk makluman, Geran Komuniti PJ SEED telah dilancarkan sejak 2 tahun yang lalu dan MBPJ telah meluluskan sebanyak 93 projek dengan peruntukan berjumlah RM1.45 juta telah diberikan kepada organisasi terpilih dan layak sejak geran tersebut diperkenalkan.
Hanya projek dalam bidang berkaitan dengan tujuan meningkatkan prestasi MBPJ sahaja yang layak untuk mendapat bantuan geran. Memandangkan tahun ini merupakan tahun ke 3 pelaksanaan PJ Seed, kriteria dan bidang utama telah ditambahbaik dan menjadikan ianya sebanyak 10 bidang sahaja berbanding 11 bidang pada tahun-tahun sebelum ini.
Pemilihan projek akan mengambilkira impak tinggi kepada Majlis akan diberi keutamaan. Projek yang dicadangkan mestilah mencapai objektif yang disasarkan serta memberi impak positif terhadap kemampanan Bandar Raya Petaling Jaya pada masa akan datang.
Majlis berharap inisiatif ini akan terus mendapat sambutan dan mendapat penglibatan daripada masyarakat setempat serta organisasi yang berkelayakan agar objektif yang dirancang dapat dilaksanakan serta memberi manfaat kepada semua pihak.
Borang dan panduan permohonan boleh dimuat turun di laman sesawang rasmi Majlis www.mbpj.gov.my atau mendapatkannya di kaunter Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MBPJ di Tingkat 20, Menara MBPJ.
Untuk sebarang pertanyaan, boleh hubungi urusetia Geran Komuniti Untuk Petaling Jaya Mampan di talian 03-79541440 atau email [email protected].