KEPALA BATAS: Akibat terlalu teruja untuk membeli telefon bimbit iPhone X pada harga murah RM300, seorang pelajar tingkatan lima di sini rugi RM15,300 selepas dipercayai diperdaya sindiket baru-baru ini.
Mangsa berusia 17 tahun itu dikatakan terjerat dengan sindiket penipuan tersebut selepas tertarik dengan iklan dalam aplikasi media sosial Instagram.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa telah melihat iklan itu yang kononnya menjual peranti murah berkenaan dari Singapura.
“Selepas berhubung menerusi aplikasi itu, mangsa diminta membuat pembayaran ke dalam akaun bank yang diberikan dan dijanjikan akan menerima iPhone tersebut dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Noorzainy berkata, mangsa kemudiannya dihubungi dua individu yang mendakwa dari pihak jaminan produk Apple dan kastam Singapura yang meminta bayaran.
“Individu itu berjanji wang mangsa akan dipulangkan semasa dia menerima kiriman iPhone tersebut sebelum mangsa membuat pembayaran ke dalam tiga akaun bank.
“Mangsa telah membuat bayaran secara berperingkat berjumlah RM15,000 kerana percaya akan memperoleh semula wang itu,” katanya.
Noorzainy berkata, mangsa bagaimanapun menyedari ditipu selepas diminta untuk mencukupkan bayaran berjumlah RM30,000 sebelum telefon pintar tersebut dikirimkan dan membuat laporan polis.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN