Kes remeh ganggu proses kehakiman - Utusan Malaysia

Kes remeh ganggu proses kehakiman

AKHTAR TAHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ‘Kebanjiran’ kes-kes perundangan yang remeh hanya menyesakkan prosiding kehakiman di mahkamah dan menggangu proses keadilan.

Menurut Hakim Datuk Akhtar Tahir, jika sebelum ini ayat `jumpa kamu di mahkamah’ digunakan untuk menakut-nakutkan seseorang tetapi kini ia telah menjadi perkara biasa sedangkan tidak semua kes perlu diselesaikan di mahkamah.

“Mahkamah perlu mengenakan kos punitif kerana kes-kes remeh hanya mencekik sistem keadilan negara kerana terpaksa berhadapan dengan kes perundangan yang tidak sepatutnya. Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Tidak semua kes perlu dibawa ke mahkamah,” katanya.

Tambah Hakim Akhtar, hanya kerana sesuatu kes itu membabitkan orang kenamaan atau figura awam, ia belum boleh dianggap sebagai kes kepentingan awam dan pihak-pihak tidak boleh menyorok di belakang fakta yang kononnya kes berkenaan adalah kes kepentingan awam, jadi tidak sebarang kos boleh dikenakan.


ABDUL HADI AWANG

Hakim terbabit berkata demikian sewaktu menyampaikan penghakiman ringkasnya berhubung permohonan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk membatalkan saman pemula dua penganut Kristian terhadapnya semalam.

Pada 9 Disember 2020, Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian selaku plaintif saman itu atas dakwaan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Bertaraf Menteri tersebut telah mengeluarkan satu penyataan menghasut berhubung penganut atau mubaligh Kristian.

Mahkamah membenarkan permohonan Abdul Hadi yang dinamakan sebagai defendan untuk membatalkan saman pemula itu dan turut memerintahkan kedua-dua plaintif membayar kos punitif RM50,000 setiap seorang.

Terdahulu, sebelum membatalkan saman tersebut, Hakim tersebut menolak bantahan awal yang dikemukakan plaintif terhadap permohonan Abdul Hadi untuk membatalkan saman tersebut.

Menyentuh mengenai isu substantif kes itu, mahkamah memutuskan Maklin dan Lawrence tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) kerana berdasarkan artikel yang dikemukakan ke mahkamah, kenyataan yang dibuat defendan merujuk kepada kumpulan mubaligh Kristian yang memberi wang kepada individu yang menukar agama anutan mereka.

“Plaintif memfailkan saman atas alasan mereka merupakan penganut Kristian tetapi tiada di mana-mana artikel tersebut yang menyentuh mengenai penganut agama Kristian mahupun agama itu sendiri. Jika adapun kenyataan yang menyinggung, ia merujuk kepada mubaligh Kritian,” katanya.

Tambahnya, artikel yang dikemukakan plaintif kepada mahkamah bukanlah artikel asal yang diterbitkan dalam akhbar Harakah sebaliknya artikel yang memetik tulisan asal dan diterbitkan dalam bahasa Inggeris di sebuah portal berita.

Selain itu, hakim Akhtar menyatakan sekiranya ada pihak yang perlu dipersalahkan kerana mempunyai kecenderungan menghasut, pihak tersebut adalah plaintif sendiri.

“Mereka (plaintif) telah menghidupkan semula kenyataan yang dibuat pada 2016 dan menjadikan sebagai satu isu baharu,” katanya.

Berhubung relif yang dimohon oleh kedua-dua plaintif, Hakim Akhtar memberitahu, seandainya beliau membuat keputusan untuk mengisytiharkan bahawa defendan tidak layak memegang sebarang jawatan dalam Kerajaaan Malaysia, keputusan itu tidak membawa sebarang makna ataupun mengikat mana-mana pihak.

Ini kerana, pelantikan Abdul Hadi dalam kerajaan merupakan keputusan eksekutif dan kehakiman tidak boleh masuk campur dalam urusan eksekutif begitu juga sebaliknya.

“Secara ringkasnya, melihat kepada keseluruhan saman pemula ini, saya membenarkan permohonan defendan untuk membatalkan saman pemula ini. Ia adalah remeh dan merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Pada prosiding semalam, Abdul Hadi diwakili peguam-peguam, Yusfarizal Yussof dan Adam Luqman Amdan manakala plaintif diwakili peguam-peguam, R. Kengadharan dan Marcus Lee Min Lun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya