Kenaikan kos tidak mendadak - Utusan Malaysia

Kenaikan kos tidak mendadak

HARUN KC. AHMMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
Ramai rakyat Malaysia yang menantikan pembukaan semula sempadan negara dan Arab Saudi supaya dapat mengerjakan ibadah umrah. Penutupan sempadan akibat Covid-19 telah menyebabkan umat Islam tidak dapat menunaikan ibadah haji dan umrah pada tahun lalu.
Namun, sekiranya sempadan dibuka untuk musim seterusnya, masih ramai yang belum jelas dan faham tentang perkara-perkara yang harus diambil tahu sebelum berangkat ke Arab Saudi berikutan penularan pandemik.
Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), HARUN KC. AHMMU baru-baru ini, berkongsi maklumat berkaitan pelaksanaan umrah dalam norma baharu sekiranya sempadan dibuka semula bersama wartawan Utusan Malaysia, SHAFIQAH SHUKOR.

UTUSAN: Berapakah jang­kaan kos me­nu­naikan umrah pada kali ini?
HARUN: Baru-baru ini, ada berita melaporkan kos umrah naik sekali ganda. Bagi saya, kenaikan kos umrah yang dilaporkan itu tidak wajar. Kos menunaikan umrah dianggarkan akan meningkat kira-kira 50 peatus daripada harga indikator sebelum pandemik Covid-19, iaitu RM4,900.
Kami berpendapat kenaikan itu memang ada cuma ia tidak terlalu mendadak, jadi orang ramai tidak perlu bimbang.

Bagaimana pula peningkatan kos insuran bagi peserta umrah?
Jemaah umrah dijangka perlu membayar premium tambahan antara RM50 hingga RM60 untuk membolehkan mereka dilindungi insurans risiko jangkitan Covid-19.
Contohnya, sebelum pandemik Covid-19, harga insurans bernilai 189 riyal (RM207.39), manakala selepas berlakunya pandemik itu, kos insurans akan menjadi kira-kira 235 riyal (RM257.86), meningkat kira-kira RM50.47.

Memetik portal berita Saudi Gazette, penambahan syarat itu bertujuan menyediakan perkhid­matan penjagaan kesihatan untuk bukan warganegara Arab Saudi dari luar negara untuk tujuan pelancongan, lawatan dan umrah sekiranya mereka dijangkiti virus berkenaan.
Bagaimanapun, kami masih menunggu kos insurans yang akan dikenakan secara rasmi pihak berkaitan dari Arab Saudi.

Kos-kos lain yang akan mempengaruhi harga pakej?
Jika dahulu setiap bas dibenarkan 40 hingga 48 orang penumpang, kini setiap bas hanya dibenarkan 25 orang penumpang.
Kami berpendapat dalam 25 orang itu perlu ada seorang petugas dari Malaysia untuk mengiringi jemaah.
Tugas petugas itu ialah untuk membantu jemaah-jemaah yang kurang mahir dengan penggunaan teknologi setelah tiba di Arab Saudi nanti.

Selain itu, peningkatan kos akan dipengaruhi oleh tambang kapal terbang, tambang bas, pekerja yang mengiring jemaah, perlindungan insurans, harga bilik serta Cukai Nilai Tambah (VAT).
Harga bilik memang tidak dina­fikan akan menjadi beban untuk jemaah yang lebih suka berkongsi bilik seramai empat orang kerana kali ini jumlah maksimum tetamu dalam bilik hanya dua orang sahaja.

Syarikat pengendali tidak mengam­bil untung kenaikan kos?
Sebarang peningkatan hanya akan ditambah kepada harga pakej itu, margin keuntungan kami tidak mempunyai apa-apa perbezaan.

Suntikan vaksin diwajibkan untuk peserta umrah. Boleh tuan jelaskan?
Berdasarkan perjalanan umrah yang telah dilaksanakan sebelum ini, semua umat Islam yang ingin menjalankan umrah diwajibkan untuk mengambil vaksin meningokokus.

Bagaimanapun, peraturan-peraturan yang diberikan oleh negara itu akan berubah mengikut masa dan kami masih menunggu peraturan dan tatacara terbaru dari Arab Saudi secara menyeluruh.
Semasa di sana, jemaah harus memuat naik beberapa aplikasi yang bertujuan untuk membantu dalam pengawasan penularan wabak Covid-19 di dalam negara tersebut selain wajib memakai pelitup muka dan menjaga jarak fizikal.
Peraturan-peraturan di negara tersebut sangat tegas dan perlu dipatuhi jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

Peraturan lain yang perlu dipatuhi oleh bakal jemaah?
Pihak berkuasa di Arab Saudi dari tahun ke tahun akan memberi lesen kepada syarikat-syarikat pengendali umrah dan lesen itu juga harus diperbaharui setiap tahun.
Kerajaan Saudi akan menilai prestasi syarikat-syarikat tersebut dan jika tiada pelanggaran sebarang peraturan lesen mereka akan disambungkan.
Bagi setiap syarikat Arab Saudi yang diberi lesen mengendali umrah (internal agent) kelak akan menandatangani perjanjian dengan agensi pelancongan seluruh dunia (external agent) dan kedua-dua pihak dikehendaki mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak kementerian haji dan umrah Arab Saudi.
Namun, untuk musim umrah akan datang, masih belum ada sebarang arahan baharu yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Bagaimana dengan prosedur operasi standard (SOP) melaksanakan umrah di Arab Saudi?
Setiap negara mempunyai (SOP) masing-masing. Begitu juga Arab Saudi, yang memerlukan setiap jemaah mengikut SOP mereka dengan teliti.
Biasanya, dua minggu sebelum pergi ke Arab Saudi, jemaah harus sediakan semua data mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh negara itu untuk mendapatkan kelulusan visa.

Dalam tempoh 72 jam sebelum tiba di Arab Saudi, jemaah harus membuat ujian PCR Covid-19 dan jika keputusannya negatif baru akan dibenarkan terbang ke sana.
Apabila sudah tiba di Arab Saudi, jemaah harus menjalankan kuarantin selama tiga hari dan selepas dua hari, jemaah perlu melakukan ujian PCR Covid-19 sekali lagi. Setelah mendapat keputusan negatif baru dibenarkan untuk mengerjakan umrah dan bergerak dengan bebas di sana.

Tindakan undang yang akan dikenakan sekiranya jemaah melanggar SOP di tanah suci?
Bagi yang tidak yang tidak memakai pelitup muka akan dikenakan 1,000 riyal (RM1,100) manakala bagi yang tidak mengimbas menggunakan aplikasi untuk memasuki mana-mana tempat di negara itu akan dikenakan SAR 10,000 (RM11,000).

Boleh kongsikan had bilangan jemaah yang boleh dikelolakan oleh ejen pelancongan?
Pada awal November baru-baru ini, jemaah yang boleh dihantar hanya lebih kurang 50 orang untuk setiap perjalanan.
Untuk musim baharu kelak (1443 H), kami masih sedang menunggu garis panduan daripada Arab Saudi.

Tempoh hari yang dibenarkan untuk menunaikan umrah?
Berdasarkan pakej, tempoh yang dibenarkan 12 hari 10 malam di mana tiga malam jemaah harus menjalankan kuarantin dan bakinya digunakan untuk mengerjakan umrah dan ziarah di Madinah. Namun, tempoh pakej itu boleh berubah mengikut arahan semasa pihak Arab Saudi.

Pesanan dan nasihat tuan kepada ejen pelancongan dan bakal jemaah?
Nasihat saya buat semua agensi pelancongan di Malaysia terutama syarikat yang mengelola jemaah umrah untuk membuat persediaan daripada sekarang.
Saranan ini adalah kerana banyak perkembangan baharu dan kelonggaran sedang berlaku di Arab Saudi selari dengan pelaksanaan vaksinasi Covid 19 yang menyeluruh.

Menurut Hotel Al Ghufran Makkah dan Al Safwa, rakyat Arab Saudi, ekspatriat yang bekerja di sana serta jemaah dari negara Arab Teluk Parsi yang sudah divaksin boleh datang ke negara itu untuk mengerjakan umrah tanpa perlu dikuarantin.

Sebelum berangkat, mereka boleh menempah bilik dengan menunjukkan bukti yang mereka sudah divaksin dan hotel itu akan membantu mereka mendapatkan giliran untuk mengerjakan umrah.
Semudah itu perjalanan di sana untuk orang-orang yang sudah divaksin.

Justeru, ia menjadi satu petanda untuk jemaah umrah yang sudah divaksin akan dapat menikmati kelonggaran itu setelah sempadan negara kita dibuka semula dan kesediaan negara Arab Saudi menerima rakyat Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN