Kawasan pencarian Aqim diperluas - Utusan Malaysia

Kawasan pencarian Aqim diperluas

ANGGOTA bomba tiba di kolam tadahan air di Taman Arowana Indah, Seremban 2, Seremban bagi mencari Mohammad Syafiq Mustaqim yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ketika bermain di longkang, petang semalam.- UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kawasan pencarian seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ketika bermain di longkang Flat Cempaka, Garden Avenue, Seremban 2, dekat sini, petang semalam diperluas sejauh 4.2 kilometer dari tempat kejadian.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Abd. Rahman Ali berkata, selepas operasi mencari Mohammad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly ditangguhkan kira-kira pukul 3.30 pagi tadi dan diteruskan semula pukul 7.40 pagi. kawasan pencarian diperluas sehingga ke Sungai Linggi.

“Kawasan pencarian ditumpukan di permukaan di sungai dan kolam tadahan air Taman Arowana. Kami turut membahagikan kepada dua pasukan iaitu pasukan pertama buat pencarian dari lokasi awal mangsa terjatuh sehingga ke kolam tadahan ini.

“Pasukan kedua pula dari kolam tadahan sehingga ke Sungai Linggi yang melibatkan pencarian sehingga sejauh 4.2 kilometer dari lokasi mangsa terjatuh,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, mangsa yang mesra dipanggil Aqim oleh ahli keluarganya tergelincir ketika bermain di longkang bersama abangnya berusia 10 tahun dan seorang rakan berusia 12 tahun.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, mangsa dikatakan tergelincir ketika bermain di longkang tersebut dan sewaktu kejadian, hujan agak lebat dan dipercayai mangsa dihanyutkan dalam air deras.

Sementara itu, Abd. Rahman berkata, operasi mencari dan menyelamat melibatkan 30 anggota daripada termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) iaitu seramai 14 orang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN