Jualan 120,000 barangan buatan tempatan di Shopee cecah RM100 juta 

Jualan 120,000 barangan buatan tempatan di Shopee cecah RM100 juta 

ALEXANDER Nanta Linggi menerima e-voucher daripada Shopee Malaysia melalui Program Food Bank Malaysia di KPDNHEP, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hanya dalam tempoh enam bulan, sebanyak RM100 juta nilai jualan berjaya dijana menerusi pemasaran kira-kira 120,000 barangan buatan tempatan yang disenaraikan dalam laman mikro Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) di platform e-dagang Shopee bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember tahun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jumlah jualan itu memanfaatkan seramai 7,700 penjual tempatan. 

Beliau berkata, kerjasama kementerian dan Shopee melalui platform e-dagang banyak membantu para usahawan tempatan dalam mengetengahkan serta menjual produk berasaskan perkhidmatan industri kecil dan sederhana (IKS) dalam memastikan ekonomi domestik tidak ketinggalan.  

“Kolaborasi dalam menjayakan KBBM telah membuka ruang dan kejayaan besar terhadap usahawan dan produk serta perkhidmatan tempatan,” katanya ketika berucap selepas menyaksikan majlis penyerahan e-voucher daripada Shopee Malaysia kepada kementerian itu, di sini hari ini. 

Dalam program berkenaan, sebanyak 2,000 unit baucar, bernilai RM50 setiap satu telah diserahkan oleh Shopee Malaysia melalui Program Food Bank Malaysia (PFBM) dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM100,000. 

Baucar itu boleh membantu golongan yang memerlukan bersempena dengan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai bagi tahun 2021. 

Dalam pada itu, Alexander berkata, kementerian mengalu-alukan penyertaan pemain-pemain industri seperti Shopee Malaysia dalam program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai penzahiran rasa terima kasih dan keprihatinan syarikat terhadap usaha-usaha kerajaan dalam membantu dan meringankan kos sara hidup rakyat terutama B40 dan mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19. 

“Harapan dan hasrat kerajaan untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan dalam pelbagai bentuk bukan sahaja bantuan makanan tetapi pelbagai kaedah. 

“Dalam hal ini, kementerian ini telah mengambil inisiatif untuk terus melaksanakan program bantuan kepada golongan sasar secara holistik melalui PFBM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya