Jangan buat pembelian panik atau berlebihan - Utusan Malaysia

Jangan buat pembelian panik atau berlebihan

KEADAAN di sebuah pasar raya pengguna membuat pembelian panik berikutan pengumuman Total Lock Down oleh kerajaan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengguna diminta tidak melakukan pembelian panik dan berlebihan bagi mengelak  gangguan bekalan di premis-premis jualan ekoran pengumuman pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi  di seluruh negara mulai Selasa ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan penguat  kuasa kementerian setiap hari bagi memastikan keberadaan bekalan barang keperluan asas di semua negeri. 

Menurut beliau, seperti pengalaman  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu yang tidak merekodkan  kes bekalan barangan keperluan asas terputus, kementerian memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan di seluruh negara  masih stabil dan mencukupi semasa fasa lockdown ini. 

“Kementerian berharap semua pihak terutamanya  peniaga dan pengguna bersama-sama bertanggungjawab memastikan  keselamatan dan kesihatan melalui kawalan kendiri dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP).

“Ini termasuk tidak melakukan pembelian panik supaya bekalan barang keperluan  asas di seluruh negara terus stabil dan mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexander berkata,  kementerian turut memaklumkan bahawa penguatkuasaan Operasi Had 2 Jam (OP Had 2J) ditangguhkan serta-merta sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. 

Bagaimanapun, kata beliau, SOP PKP 3.0 yang lain masih terus dikuatkuasakan. 

“Kementerian berharap pengguna dan pengunjung  premis perniagaan akan terus merancang perbelanjaan dan perjalanan bagi mengurangkan kesesakan di premis perniagaan yang boleh menyebabkan  penularan Covid-19,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN