Heret Zionis Israel ke muka pengadilan - Utusan Malaysia

Heret Zionis Israel ke muka pengadilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (Peace) mengesa jenayah keganasan Yahudi Zionis di Palestin dikategorikan sebagai jenayah pembersihan etnik yakni jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan secara terancang, sistematik dan meluas.

Pengerusinya, Mohd. Jamizal Zainol berkata, semua media domestik dan antarabangsa dituntut melaporkan keganasan Yahudi Zionis sebagai jenayah pembersihan etnik yang bersifat politik bagi menubuhkan negara haram Israel.

Katanya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan kadar segera perlu menyatakan sikap dengan mengeluarkan resolusi bahawa pembersihan etnik secara terancang terhadap Arab-Palestin sebagai Jenayah Kemanusiaan.

“Tribunal Khas PBB juga perlu dilakukan bagi mendakwa dan membicarakan pemimpin-pemimpin Israel yang melancarkan jenayah pembersihan etnik terhadap Arab-Palestin.

“Malah, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) wajar mengeluarkan kenyataan dan sikap mereka terhadap jenayah pembersihan etnik yang dilakukan Israel selama ini dan mencadangkan tindakan-tindakan yang boleh diambil di bawah undang-undang antarabangsa bagi menamatkan jenayah kemanusiaan yang dilakukan Israel selama ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Jamizal berkata, semua umat Islam di seluruh dunia digesa bersatu padu dan menolak segala persengketaan politik bagi membantu menamatkan jenayah kemanusiaan yang dilakukan selama ini.

“Peace berpandangan tidak ada kaedah lain yang lebih tuntas menangani jenayah ini selain perpaduan umat Islam itu sendiri.

“Kta semua perlu terus mengecam sekeras-kerasnya jenayah pembersihan etnik yang dilakukan oleh Yahudi Zionis di Semenanjung Gaza selama ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN