Hati-hati jenayah ugut sebar gambar, video lucah menerusi aplikasi media sosial - Utusan Malaysia

Hati-hati jenayah ugut sebar gambar, video lucah menerusi aplikasi media sosial

RAHIMI RA’AIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang merekodkan sebanyak 35 kes jenayah pemerasan melibatkan ugutan penyebaran gambar atau video lucah bagi tempoh Januari 2020 sehingga April tahun ini melibatkan kerugian sebanyak RM126,860.

Aplikasi yang digunakan oleh sindiket terbabit adalah seperti WeChat, Facebook, Michat, Line, Instagram, Tantan, Singol, Tinder, Yimi, Heymandi, Skype dan WhatsApp.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais, modus operandi sindiket itu adalah dengan menggunakan wanita-wanita muda yang dipercayai warga asing untuk memperdayakan mangsa di laman sosial dengan melakukan aksi-aksi ghairah.

Jelasnya, aksi ghairah mangsa itu kemudian dirakam tanpa disedari dan digunakan semula untuk mengugut mangsa.

“Sekiranya tidak dibayar wang yang diminta, gambar atau video mangsa atau gambar mangsa yang diubah suai akan disebarkan melalui media sosial.

“Penjenayah juga menggunakan keldai akaun dan ‘Pin Razer Gold’ untuk melakukan transaksi antara mangsa dengan penjenayah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Rahimi, selain melalui aplikasi telefon bimbit, sindiket itu menggunakan modus operandi dengan menawarkan ‘perkhidmatan urut’ dan ‘khidmat seks’ menerusi laman web untuk memerangkap mangsa.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

“Bagi pemilik akaun ‘keldai akaun’ pula akan dituduh di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya bijak menggunakan media sosial memandangkan platform itu terbuka kepada aktiviti jenayah tanpa batasan.

“Jangan mudah mempercayai orang yang tidak dikenali di dalam media sosial kerana ramai menjadi mangsa kepada kumpulan ‘scammer’ ini.

“Masyarakat juga diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya membenarkan akaun bank persendirian disewakan kepada sindiket ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya