Hartalega catat untung bersih S4 RM1.12b - Utusan Malaysia

Hartalega catat untung bersih S4 RM1.12b

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hartalega Holdings Berhad mengisytiharkan dividen interim sebanyak 17.70 sen sesaham selepas menunjukkan prestasi kukuh dengan keuntungan selepas cukai lebih tinggi bernilai RM1.12 bilion bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2021 .

Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Mac 2021, kumpulan itu mencatatkan untung selepas cukai (PAT) lebih tinggi sebanyak RM2.90 bilion. Untung sebelum cukai (PBT) meningkat kepada RM3.82 bilion manakala hasil bertambah kepada RM6.69 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kuan Mun Leong berkata, prestasi kukuh itu dipacu hasil jualan lebih tinggi, peningkatan harga jualan purata dan pertambahan jumlah jualan walaupun sedikit terjejas pada suku keempat ekoran gangguan sementara dalam rantaian bekalan kontena global.

Ujarnya, walaupun program vaksinasi telah bermula, banyak negara di seluruh dunia terus dilanda gelombang baharu kes Covid-19, sekali gus meningkatkan permintaan global bagi bekalan perubatan termasuk sarung tangan nitril.

“Pertumbuhan permintaan ketara ini akan dipacu pertambahan berperingkat dalam penggunaan sarung tangan daripada pasaran-pasaran sedang membangun dengan tahap penggunaan sarung tangan getah per kapita yang masih rendah dan kesedaran yang semakin meningkat tentang kebersihan, lantas menetapkan tahap permintaan dasar yang baharu bagi industri.

“Mengikut situasi terkini, kami komited untuk memainkan peranan kritikal kami dalam rantaian nilai penjagaan kesihatan dengan terus membekalkan sarung tangan bermutu tinggi untuk melindungi kakitangan barisan hadapan di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, Hartalega turut memberi tumpuan terhadap rancangan pengembangan
operasi dengan penambahan empat Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC).

“Penambahan kilang tersebut akan menyumbang 19 bilion unit sarung tangan sekali gus menjadikan kapasiti tahunan kepada 63 bilion keping dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Dengan rancangan pengembangan yang giat dilaksanakan, kami bersedia untuk memenuhi pertumbuhan dalam permintaan global bagi sarung tangan nitril bermutu tinggi,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya