GEORGETOWN: Harga ayam segar di pasar awam di negeri ini kembali mahal iaitu RM9.50 hingga RM9.80 sekilogram hanya empat hari selepas pelaksanaan Skim Harga Maksimum Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 tamat 20 Mei lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia di tiga pasar awam di Daerah Barat Daya dan Timur Laut di sini semalam mendapati, kesemua peniaga mula mempamerkan harga melebihi daripada harga siling ditetapkan SHMPP untuk Aidilfitri.
Rata-rata meluahkan mereka perlu menaikkan harga ayam segar kerana sudah tidak tahan dengan kerugian berlipat kali ganda sepanjang tempoh sebulan bermula 20 April lalu.
Seorang peniaga ayam di pasar awam Daerah Barat Daya yang hanya mahu dikenali sebagai Azlan, 51 berkata, ketika ini masa paling sesuai untuknya menampung semula kerugian yang mencecah sehingga RM40,000 sepanjang 30 hari SHMPP 2021 dilaksanakan.
Menurut peniaga itu, harga RM9.50 sekilogram yang ditawarkan itu didakwa sebagai paling ideal bagi peniaga-peniaga di pasar awam dan dianggap sangat berpatutan dengan keadaan yang berlaku sebelum ini.
“Bayangkan dalam tempoh 15 hari (semasa SHMPP) saya terpaksa tanggung rugi RM20,000 termasuk membayar kos plastik, bil api dan air, gaji pekerja dan pengurusan.
“Kenaikan kembali harga ayam segar ini bukan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tetapi untuk kami memperoleh serta mengaut semula pendapatan yang terjejas.
“Dengan penetapan harga sedemikian, kami bolehlah bernafas kembali berbanding baru-baru ini, kami tenat disebabkan terpaksa menghadkan stok jualan ayam ekoran tak (tidak) sanggup tanggung rugi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Seorang lagi peniaga mahu dikenali sebagai Suhaila, 48, berkata, pihaknya mempunyai alasan tersendiri berhubung kenaikan semula harga ayam kepada asal iaitu RM9.50 sekilogram.
“Kami gigit jari disebabkan terpaksa mematuhi arahan yang ditetapkan kerajaan bagi harga kawalan pada musim perayaan demi kepuasan pelanggan.
“Sepatutnya semua pihak tahu masalah yang dihadapi di peringkat peniaga atau peruncit selain ayam segar yang diperoleh mengalami susut berat berbanding sebelum ditukar tangan daripada pihak penternak dan pemborong.
“Penternak tetap dengan harga jualan mereka kepada pemborong dengan memberi alasan kenaikan harga dedak import. Penternak sudah mulai selesa kami pula yang tersepit,” luahnya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga ayam, Zainal Ali, 42, menggesa kerajaan membincangkan serta menyelesaikan isu tersebut di peringkat penternak dan bukannya peruncit.
Menurutnya, ini kerana pihak terbabit adalah individu bertanggungjawab dalam senarai utama penyediaan bekalan itu.
“Tidak akan berlaku kenaikan harga di peringkat peniaga sekiranya pihak penternak dan pemborong menetapkan harga paling munasabah atau ideal kepada kami,” tambahnya.
di Kuala Nerus, Terengganu, harga ayam di negeri itu juga didakwa melonjak semula apabila dijual RM9 sekilogram sejak empat hari lalu.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Batu Enam di sini mendapati, rata-rata peniaga sepakat menjual pada harga sama malah kadar tersebut disifatkan sebagai masih murah.
Seorang peniaga, Mohd. Mazlin Mohammad berkata, harga itu juga didakwa lebih rendah berbanding RM10 hingga RM12 sekilogram sebelum ini.
Katanya, tindakan pemborong yang masih menjual pada harga tinggi membuatkan peniaga tersepit dan terpaksa bertindak sama.
“Tetapi permintaan ayam segar merosot semasa PKP 3.0 dan keuntungan kami tidak sebesar pemborong,” katanya semalam.- UTUSAN







