KUALA LUMPUR: Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah, semalam berhubung hukum haram merentas negeri mencetuskan perdebatan dalam kalangan masyarakat.
Ia disebabkan ramai beranggapan kenyataan itu tidak selari dengan dakwaan adanya penguatkuasaan ‘double standard’ antara masyarakat biasa dengan golongan tertentu yang juga disebut sebagai ‘kayangan’.
Kenyataan itu juga dikatakan tidak menjaga sensitiviti orang ramai lebih-lebih lagi yang telah lama tidak pulang ke kampung.
Sebagai seorang bekas Mufti Wilayah Persekutuan dan kini menggalas jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri adalah individu paling sesuai mengulas mengenai isu tersebut.
Bagaimanapun, usaha mendapatkan komen beliau selepas Zulkifli melancarkan Sijil Blockchain Wakaf Pelaburan ASEAN Mall hari ini gagal kerana beliau perlu bergegas menghadiri majlis lain di Bangi, Selangor.
“Biarlah dulu,” katanya ringkas enggan mengulas lebih lanjut.
Zulkifli sebelum itu menghadiri majlis amal ‘Majlis Iftar dan Forum Waqaf Asean Mall 2021’ di Arina Skyview bersama Presiden Uniti Asia Business Group, Datuk Jamal Mohd. Amin dan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Rani Lebai Jaafar.
Berucap pada majlis berkenaan, beliau berkata, konsep wakaf sudah begitu berkembang dari semasa ke semasa malah di Turki sebagai contoh telah lama mengamalkan sistem berkenaan.
“Malah, Majlis Fatwa Kebangsaan banyak mengeluarkan fatwa-fatwa berkenaan dengan wakaf ini,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, wakaf pelaburan adalah sesebuah konsep yang amat penting dalam meningkatkan prestasi ekonomi umat Islam di negara ini. – UTUSAN ONLINE