"Dapat jumpa anak, cucu sekejap pun jadilah" - Utusan Malaysia

“Dapat jumpa anak, cucu sekejap pun jadilah”

WAN Hasnah Wan Daud meleraikan ikan rebus dan digaul bersama nasi untuk diberi makan kucing peliharaannya di rumahnya di Kampung Indah, Bahau, Jempol, Negeri Sembilan. - UTUSAN/NURULAZMAH SHAFIQAH KHAIRUL AZHAR.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Larangan merentas negeri ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa negeri serta peningkatan kes penularan Covid-19 menyebabkan perayaan Aidilfitri suram seperti tahun lalu.

Ramai ahli keluarga tidak dapat berkumpul dan anak-anak yang merantau tidak dapat pulang ke kampung meraikan hari raya bersama ibu serta bapa masing-masing.

Namun, itu bukan sesuatu yang berbeza buat seorang warga emas, Wan Hasnah Wan Daud, 85, dari Kampung Indah, Bahau, dekat sini yang lebih 10 tahun menyambut raya seorang diri.

“Sejak suami meninggal dunia, saya tinggal seorang diri sahaja. Anak ada seorang tetapi dia pun sudah berusia dan bukan orang senang.

“Saya tidak mahu susahkan dia yang juga kurang sihat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Katanya, dia sudah biasa bersendirian dan bantuan yang diterimanya ketika ini sudah mencukupi untuk menampung keperluan kehidupannya ketika ini.

“Jiran-jiran di sini pun selalu menghulurkan bantuan, apabila ada sumbangan, saya terima sahaja. Jiran di sebelah rumah juga ambil berat tentang saya dan sayang seperti keluarga sendiri,” katanya yang juga penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal.

Wan Hasnah mengakui dia merinduinya anaknya namun keadaan ketika ini Covid-19 menghalang untuk mereka berjumpa.

“Harapan saya, sebelum menutup mata dapatlah jumpa anak, cucu dan cicit saya. Dapat jumpa sekejap pun jadilah,” katanya.

Sementara itu, jiran Wan Hasnah, Rafika Fitri, 31, berkata, anak tunggal kepada Wan Hasnah yang kini menetap di Kuantan, Pahang sentiasa mengirimkan belanja bulanan buat ibunya itu yang sudah uzur.

“Dia tidak dapat datang ke sini kerana tiada kenderaan dan kurang sihat.

“Jadi, dia kirimkan duit belanja melalui saya untuk ibunya. Kadangkala mereka berbual melalui telefon,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya