Dana Solidariti al-Aqsa untuk bantu saudara di Palestin - Utusan Malaysia

Dana Solidariti al-Aqsa untuk bantu saudara di Palestin

SYED AZMI SYED NAZIR AHMAD AL-HUSAINI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni 4B Malaysia) melancarkan Tabung Dana Solidariti al-Aqsa bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang sedang mengalami krisis dengan negara Israel.

Presidennya, Datuk Syed Azmi Syed Nazir Ahmad Al-Husaini berkata, pihaknya bersolidariti bersama Palestin dan tidak menyokong sama sekali tindakan Israel.

“Sebagai tanda sokongan padu dan solidariti Alumni 4B Malaysia akan melancarkan Tabung Dana Solidariti Al-Aqsa.

“Alumni 4B Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tentera rejim Israel yang bertindak ganas, zalim dan melakukan kekejaman yang keterlaluan serta di luar norma kemanusiaan terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengutuk keras serangan rejim Israel itu.

Senada dengan pemimpin-pemimpin itu, alumni 4B Malaysia turut kecewa dan kesal dengan serangan udara dan pencerobohan berterusan tentera regim Israel terhadap rakyat Palestin ketika umat Islam sedang mengerjakan ibadah di Masjid Al-Aqsa.

“Perbuatan keji dan biadab ini telah mencemar kehormatan agama Islam amat mengguris hati dan perasaan umat Islam di seluruh dunia.

“Seluruh ahli Alumni 4B Malaysia dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dirayu untuk menyumbang ke tabung ini,” katanya.

Semua sumbangan boleh disalurkan ke akaun 8600063893 (CIMB-Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN