PETALING JAYA : Pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung isu lompat parti disifatkan sebagai terlambat sedangkan ia didakwa berlaku sejak zaman Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, isu tersebut kemudian diteruskan ketika zaman Perikatan Nasional (PN) apabila ada individu dibersihkan daripada pendakwaan dan penyiasatan.
Malah katanya, ia semakin jelas menerusi agenda ‘scheme of thing’ dengan pendedahan audio pemimpin tertinggi Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerusi pelbagai tawaran kedudukan dan posisi penting Kabinet serta jawatan dalam syarikat milik kerajaan (GLC).
“Dakwaan Abdul Hamid berkaitan rasuah dengan lompat parti dalam PN hari ini serius kerana didedahkan seorang Ketua Polis Negara yang mengesahkan tanggapan umum bahawa PN hari ini banyak terpalit dengan pelbagai aktiviti jual beli pemimpin politik untuk terus kekal berkuasa.
“Namun ia agak terlambat kerana Abdul Hamid hanya bersuara ketika diambang pengakhiran kontrak beliau sedangkan rasuah yang dikaitkan dengan lompat parti sudah bermula di zaman PH apabila ramai yang diugut dan ditekan dengan pelbagai kes mahkamah, cukai bahkan ditawar dengan pelbagai ganjaran untuk lompat parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru katanya, amat wajar sekali pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan segera dan serius bagi mengelakkan persepsi buruk rakyat serta masyarakat antarabangsa berkenaan budaya rasuah politik di negara ini.
Abdul Hamid meminta SPRM menyiasat unsur rasuah berhubungan perbuatan melompat parti di negara ini dan mendakwa pemimpin politik telah membudayakan rasuah. – UTUSAN ONLINE