KEMAMAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan Vietnam bersama empat kru termasuk tekong yang menceroboh perairan negara, semalam.
Pengarah Zon Maritim Malaysia Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, bot itu ditahan di kedudukan 58 batu nautika timur laut Kuala Kemaman, di sini kira-kira pukul 11.15 pagi.
“Kru bot bertindak merentangkan tali pukat dan cuba memecut untuk lolos ke arah sempadan perairan antarabangsa.
“Bagaimanapun, tindakan pantas Maritim Malaysia mematahkan cubaan mereka dan bot dipintas kira-kira sejam kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rashidilhadi berkata, pemeriksaan mendapati kesemua kru bot yang berusia antara 23 hingga 42 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri sah dan mereka dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.
Katanya, turut dirampas kira-kira 1,000 liter diesel di samping peralatan menangkap ikan yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN ONLINE










