Bomba siasat kes alat pemadam api meletup - Utusan Malaysia

Bomba siasat kes alat pemadam api meletup

AZMI Osman (kanan) memeriksa alat pemadam api gelong hos ketika Pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran di Aeon Mall Kinta City di Ipoh, Perak, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak membentuk satu jawatan kuasa bagi menyiasat punca alat pemadam api meletup hingga mencederakan tiga lelaki dalam kejadian di Jalan Hussin Nordin, Taman Pearl di sini, kelmarin.

Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman berkata, siasatan itu bagi mengetahui punca letupan itu berlaku sama ada disebabkan oleh kelalaian semasa mengendalikan alat pemadam api atau keadaan fizikal peralatan tersebut.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu juga akan diperiksa bagi melihat situasi sebenar kejadian.

“Kita sedang menunggu laporan daripada bahagian forensik untuk mengetahui punca kejadian. Bagi kes ini, kita menilai daripada semua aspek untuk melihat kemungkinan terdapat unsur lain yang menyebabkan letupan.

“Sampel alat pemadam api juga akan dihantar ke makmal atau syarikat yang berpengalaman dan berkemahiran mengendalikan peralatan tersebut untuk mengetahui apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui selepas program Pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran (pusat membeli-belah) di Aeon Mall Kinta City, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, seorang lelaki berusia 47 tahun parah dengan kaki kanannya hampir putus manakala dua rakannya cedera ringan akibat letupan tersebut.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika ketiga-tiga mereka sedang menyelenggara alat pemadam api jenis serbuk kering ABC di premis tersebut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya juga sedang menyiasat punca kebakaran kedai dobi layan diri di Taiping yang turut mengakibatkan seorang mangsa cedera.

“Siasatan telah dilakukan namun kita belum dapat membuat kesimpulan atau rumusan berkaitan insiden berkenaan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati premis itu mempunyai sijil perakuan bomba dan beroperasi dengan patuh kepada sistem keselamatan ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya