Baju, kuih raya musnah dalam kebakaran 35 buah rumah - Utusan Malaysia

Baju, kuih raya musnah dalam kebakaran 35 buah rumah

MANGSA kebakaran memilih pakaian yang disumbangkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam di Dewan Sri Serigai, Putatan, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Baju baharu belum sempat dipakai, balang kuih raya pun belum dibuka tapi semua barangan menyambut Hari Raya Aidilfitri itu musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Meruntum, Putatan dekat sini, petang kelmarin.

“Kami hanya tinggal sehelai sepinggang, ini sahaja baju yang ada. Semua barangan tidak dapat diselamatkan, tiada dokumen yang sempat dibawa,” kata Dg Maslinah Tahir, 60, yang terjejas akibat kebakaran 35 buah rumah di Kampung Meruntum.

Katanya, tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa sedihnya mereka setelah kehilangan tempat berlindung, apatah lagi kejadian itu berlaku pada hari ketiga umat Islam meraikan Aidilfitri.

Dg Maslinah memberitahu, mereka tujuh beranak termasuk menantunya tinggal di rumah tersebut namun ketika kebakaran berlaku hanya anak lelakinya berada di rumah. Dia bersama anak-anak lain beraya di rumah seorang lagi anaknya di Kampung Lok Kawi Baru.

“Semasa kebakaran berlaku di lorong bersebelahan jambatan di hadapan rumah kami, anak saya berada di bilik dan terdengar ada jiran teriak meminta tolong. Apabila dia keluar dari bilik, api sudah merebak di bahagian atap rumah kami dan dia terus lari menyelamatkan diri.

“Bayangkan di rumah kami sahaja ada empat tong gas, kalau anak saya terlambat sedikit tidak tahu apa akan berlaku,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Sri Serigai, semalam.

Seramai 81 mangsa kebakaran dipindahkan ke PPS Dewan Sri Serigai dan Dewan Sri Keramat. Kejadian kebakaran di Kampung Meruntum itu melibatkan 221 mangsa.

“Memang sedih tapi apa boleh buat, mungkin ada rahmat disebalik ujian Tuhan terhadap kami. Jadi, kami reda dan bersabar dengan ketentuan ini,” katanya.

Sementara itu, Faridah Sirin, 40, berkata, panggilan telefon daripada jiran memaklumkan tentang kebakaran itu membuatkan dia bergegas pulang ke rumah setelah membeli barangan keperluan di Putatan.

Perkara pertama yang terlintas di fikirannya ketika itu adalah keadaan anaknya kerana semasa meninggalkan rumah, anaknya itu sedang tidur di dalam bilik.

“Selepas beberapa minit tercari-cari, jiran yang menolong anak lelaki datang membawanya yang tidak sempat memakai baju pun. Dia terus datang memeluk sambil memberitahu dia tidak sempat ambil apa-apa, kunci kereta pun tidak sempat diambil’.

“Saya tidak kisah barangan tidak selamat asalkan dia selamat. Nyawa dan keselamatan anak saya itu jauh lebih berharga berbanding barangan yang musnah terbakar,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya